Krisis Sri Lanka: Rakyat Malaysia dinasihat tak sertai protes

Saifuddin bersama peserta Program Penyampaian Kejohanan Taekwando MGTF bagi sekolah-sekolah serta kelab-kelab negeri Pahang di Kuantan Parade di sini pada Ahad.
Saifuddin bersama peserta Program Penyampaian Kejohanan Taekwando MGTF bagi sekolah-sekolah serta kelab-kelab negeri Pahang di Kuantan Parade di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dan tunjuk perasaan atau protes di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, walaupun keadaan di Sri Lanka sudah terkawal, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak sebarang kecelakaan.

“Kita minta rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka supaya menjaga keselamatan masing-masing dan tidak menyertai, mendekati apa-apa perhimpunan, protes, sokongan dan sebagainya.

“Rakyat Malaysia juga diminta supaya menghubungi perwakilan Malaysia (Malawakil) di Colombia bagi mendapatkan perkembangan semasa mengenai krisis di Sri Lanka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya Majlis Penyampaian Kejohanan Taekwondo MGTF bagi sekolah-sekolah serta kelab-kelab negeri Pahang di Kuantan Parade di sini pada Ahad.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, setakat ini seramai 126 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan kedutaan di Colombia.

Jelasnya, ada sebahagian daripada jumlah itu telah pulang secara sukarela ke Malaysia dengan menggunakan pesawat komersial.

“Kita masih belum memperoleh jumlah mereka (rakyat) yang pulang dan kini masih mengumpul data itu,” katanya.

Ditanya mengenai penerbangan Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di Wilayah Donetsk, Ukraine, Saifuddin menjelaskan Malaysia akan terus memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi sebagai ahli Pasukan Penyiasatan bersama Joint Investigation Team, (JIT).

Beliau berharap agar proses kehakiman yang dijalankan adalah telus, dalam usaha untuk mencari kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.

“Malaysia merakamkan penghargaan kepada rakan JIT di atas semangat jitu yang ditunjukkan terhadap penyiasatan jenayah dan prosiding suspek-suspek yang didakwa atas peranan mereka dalam penembakan jatuh pesawat MH17.

“Secara konsistennya, Malaysia menyokong proses penyiasatan bebas dan menyeluruh terhadap penjenayah yang didakwa dalam Pendakwaan Kebangsaan Belanda.

“Dalam memperingati mangsa dan waris nahas ini, hanya proses undang-undang yang menyeluruh mampu memberikan keputusan adil dan saksama,” katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, Malaysia amat berpuas hati dengan kemajuan siasatan MH17 yang dicapai setakat ini.

“Usaha yang dijalankan selama ini adalah demi mereka (ahli keluarga mangsa) dan kita akan melakukan segala yang mungkin untuk mendapatkan keadilan kepada insiden tragis ini,” katanya.