[VIDEO] 'Sikit-sikit masuk Facebook, orang nak undi pun meluat'

Fuziah pada sesi ucapan pembubaran Ahli Majlis Pimpinan (MPP) Pusat PKR 2018-2021, Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad. - Foto Sinar Harian/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Fuziah pada sesi ucapan pembubaran Ahli Majlis Pimpinan (MPP) Pusat PKR 2018-2021, Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad. - Foto Sinar Harian/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Wanita Parti Keadian Rakyat (PKR), Fuziah Salleh menegur segelintir ahli parti menjadikan media sosial sebagai platform untuk mengeluarkan kenyataan mampu menjejaskan parti dan seterusnya membawa kepada kekalahan.

Fuziah menegaskan, PKR seharusnya perlu dilihat sebagai sebuah parti yang layak untuk diberi mandat serta kepercayaan oleh para pengundi dan pihak lawan.

"Kalau dalam Facebook kita asyik serang sesama sendiri, sikit-sikit masuk Facebook, buat kenyataan media, orang nak undi kita pun meluat, menyampah, tahu tak?

"Tak boleh simpan sikit? Dah tak ada saluran dalaman? Tiada cara komunikasi? Sikit-sikit masuk Facebook, kenyataan media, buat 'live'. Hebat konon. Tetapi saudara tidak sedar inilah yang menghancurkan parti. Ini yang membawa kekalahan kita," katanya pada sesi ucapan pembubaran Ahli Majlis Pimpinan (MPP) Pusat PKR 2018-2021, Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.

Dalam pada itu Fuziah yang menyandang jawatan berkenaan bagi sesi 2018 hingga 2022 turut menegur ahli parti yang tidak memulangkan wang deposit pilihan raya meskipun telah menandatangani aku janji.

Fuziah berkata, senarai nama ahli terlibat boleh dikeluarkan sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak.

"Masa suruh tandatangan, beria tandatangan sebab nak jadi calon. Minta balik deposit punyalah susah. Jadi kita senarai hitam (dan) tidak perlu jadi calon dalam pilihan raya akan datang.

"Tak payah bagi peluang, siapa yang pandai-pandai tulis dalam Facebook, jatuhkan parti, kita senarai hitam, siapa buat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), hantar kepada Lembaga Disiplin dan senarai hitam semua.

"Kita julang calon yang betul-betul hendak menangkan PKR, bukan yang nak menangkan diri sendiri. Perjuangan reformasi memerlukan komitmen yang tinggi, kefahaman tentang apa itu keadilan dan reformasi," tegasnya.

@sinarharianonline Media sosial boleh cetuskan perbalahan antara satu sama lain #fyp#TrendingNewsMalaysia#BuletinTikTok#TikTokNews#PKR#FuziahSalleh original sound Sinar Harian