‘Berjimat jangan sampai jejas perkhidmatan awam’

Adnan (gambar kecil) menegaskan adalah tidak wajar jika kerajaan memotong perbelanjaan sehingga mengakibatkan sistem perkhidmatan awam terjejas.
Adnan (gambar kecil) menegaskan adalah tidak wajar jika kerajaan memotong perbelanjaan sehingga mengakibatkan sistem perkhidmatan awam terjejas.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan langkah kerajaan melakukan penjimatan perbelanjaan awam adalah wajar tetapi jangan sampai menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan serta kebajikan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, Cuepacs pada dasarnya menyambut baik langkah penjimatan itu kerana ia contoh ‘kepimpinan melalui teladan’ ketika rakyat digalakkan untuk berjimat dalam perbelanjaan.

“Beberapa perkara perlu diteliti semula dalam melaksanakan potongan perbelanjaan kepada perkhidmatan awam terutama perkara yang boleh mengakibatkan ‘gangguan’ kepada sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun dan syarikat jaminan kerajaan (CLBG) diarah melakukan penjimatan dengan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan, berkuat kuasa serta-merta.

Adnan menegaskan, adalah tidak wajar jika kerajaan memotong perbelanjaan sehingga mengakibatkan sistem perkhidmatan awam terjejas.

Katanya, akhirnya perkhidmatan awam akan dihakimi oleh rakyat sebagai gagal kerana tidak mampu berkhidmat dengan baik.