Mohd Radzi hadiri sesi libat urus bersama guru di Sandakan

Mohd Radzi hadiri sesi libat urus bersama guru-guru di SMK Merpati, Sandakan pada Sabtu.
Mohd Radzi hadiri sesi libat urus bersama guru-guru di SMK Merpati, Sandakan pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menghadiri sesi libat urus bersama guru-guru sekolah sekitar Sandakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merpati pada Sabtu.

Menurut Mohd Radzi, sesi berkenaan antara lainnya berkongsi tentang aspirasi penerapan konsep Sekolahku SEJAHTERA dan pembaharuan serta penambahbaikan yang telah, sedang dan akan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mentransformasi sektor pendidikan negara

“Ini termasuklah pendigitalan pendidikan, pentaksiran, pengurusan utiliti dan sumber manusia,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.

Katanya, peranan guru amat penting sebagai tunjang untuk menjayakan aspirasi dalam meningkatkan kualiti pendidikan demi anak-anak didik.

“Pendekatan secara kreatif serta inovasi berterusan dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran pasti akan berupaya menjadikan pendidikan lebih menarik untuk anak-anak ikuti dan fahami,” katanya

Jelasnya, sekarang adalah masa paling sesuai untuk melaksanakan transformasi menyeluruh dan holistik terhadap sektor pendidikan, termasuklah memanfaatkan setiap inovasi dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang dihasilkan oleh para pendidik.

“Inovasi seharusnya diguna, dikongsi dan dikembangkan untuk manfaat pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya.

Tambahnya, dalam pertemuan ini, guru-guru turut berkongsi pandangan mengenai bidang tugasan dan peranan yang boleh dimainkan dalam mentransformasi pendidikan.

“Sesi sebegini juga membolehkan kami mendapatkan input dan pandangan serta memahami cabaran di peringkat akar umbi sekaligus mengenalpasti pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi menambahbaik ekosistem pendidikan sedia ada,” katanya.