Lebih separuh rakyat Malaysia tidak saring kesihatan

Khairy (duduk, kiri) bersama Saarani (kanan) semasa sesi temu bual di booth pada pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat negeri dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Meru Raya, Ipoh.
Khairy (duduk, kiri) bersama Saarani (kanan) semasa sesi temu bual di booth pada pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat negeri dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Meru Raya, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan kira-kira 53 peratus rakyat Malaysia dewasa tidak menjalani saringan kesihatan dalam tempoh setahun yang lepas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, angka tersebut menggambarkan kesedaran terhadap saringan kesihatan dalam kalangan rakyat masih rendah.

Menurutnya, inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dilaksanakan sebagai usaha menggalakkan rakyat terutama berusia 40 tahun dan ke atas menjalani saringan secara berkala.

"Menerusi inisiatif ini, kita menyasarkan 1.5 juta rakyat yang berusia 40 tahun ke atas dan yang belum pernah melakukan saringan untuk mereka melakukannya sebelum akhir tahun ini.

"Dengan program saringan kesihatan antara lain melalui kementerian dan ProtectHealth menerusi Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40), kita menawarkan saringan kesihatan yang komprehensif secara percuma.

"Saya yakin dengan inisiatif ini, kita akan dapat kenal pasti lebih ramai lagi memerlukan rawatan seperti pra kencing manis. Kita akan dapat mengurangkan dan mengawal bilangan rakyat menghidap penyakit," katanya pada pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat negeri dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Bulatan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Khairy berkata, klinik-klinik swasta diminta untuk terlibat sama melaksanakan program turun padang ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman.

"Kita tidak mahu rakyat susah payah datang untuk dapatkan saringan kesihatan. Antara inisiatif adalah program di kawasan tumpuan ramai selain penglibatan klinik swasta untuk buat program 'outreach' di pedalaman.

"Menerusi klinik bergerak, mereka bawa semua kemudahan bersama doktor dan jururawat ke lapangan untuk buat saringan di balai raya, pekarangan masjid dan kawasan yang mudah diakses," katanya.