Selepas 25 hari, Mat Kilau kaut RM80 juta

Syamsul bersyukur filem 'Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan' terus mendapat sambutan penonton. - Foto Instagram syamsulyusoffilm
Syamsul bersyukur filem 'Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan' terus mendapat sambutan penonton. - Foto Instagram syamsulyusoffilm
A
A
A

SHAH ALAM - Filem epik kebanggaan Malaysia, 'Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan' terus mendapat perhatian apabila jualan tiket meningkat lebih RM80 juta selepas 25 hari ditayangkan di pawagam di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Pengarahnya, Syamsul Yusof bersyukur filem yang mengangkat kisah kepahlawanan Melayu itu terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

"Izin ALLAH, Alhamdulillah terima kasih penonton! Masanya sudah tiba, industri filem Malaysia perlu bangkit.

"Pada yang memberi komen positif untuk filem saya, syukur dan terima kasih. Saya amat terharu dan hargai anda,” katanya menerusi Instagram pada Sabtu.

Syamsul turut berjanji mahu terus fokus dan membawa industri perfileman tempatan ke peringkat yang lebih baik biarpun terlalu banyak kelemahan dalam sektor itu.

Pengarah muda itu turut berlapang dada meskipun ada yang mengatakan filem terbarunya itu sebagai sampah dan lemah.

“Kelemahan inilah yang telah membunuh industri dan pengkarya filem! Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), orang filem dan kerajaan.

"Ayuh ikhlas dalam perjuangan ini!" katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang diterbitkan Studio Kembara Sdn Bhd diterajui Datuk Adi Putra yang menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As'ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.