Kerjasama ekonomi Perancis, Malaysia kekal erat: Duta

Galharague - Foto Embassy of France in Kuala Lumpur
Galharague - Foto Embassy of France in Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perancis dan Malaysia telah membina kerjasama ekonomi erat dan rangkaian hubungan budaya, pendidikan dan saintifik yang mengagumkan, kata Duta Perancis ke Malaysia, Roland Galharague.

Beliau berkata, Perancis dan Malaysia juga telah mengharungi banyak cabaran bersama yang menyaksikan tentera kedua-dua negara berjuang bersama-sama untuk keamanan di Bosnia dan Lubnan.

Galharague berkata, tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Paris dan Kuala Lumpur.

"Perancis merupakan satu daripada saksi kepada pembentukan negara yang indah ini (Malaysia) dan sebagai warganegara Indo-Pasifik, Perancis akan terus bekerjasama dengan Malaysia,” katanya dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan Perancis pada malam Khamis.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri adalah tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Beliau berkata, Perancis turut bersolidariti dengan Ukraine.

"Kami yakin bahawa dunia memerlukan kerjasama bukan konfrontasi, tindakan pelbagai hala, bukannya perpecahan," katanya.

Galharague berkata, cabaran yang melanda manusia seperti perubahan iklim, kesihatan dan pembangunan yang tidak sama rata, menuntut tindakan yang bersepadu.

"Kami bertuah kerana dapat bersama dengan Malaysia dalam usaha ini," katanya.

"Jadi izinkan saya gunakan peluang ini untuk mengucapkan terima kasih Malaysia atas persahabatan anda. Kita boleh saling bekerjasama untuk memastikan wilayah ini bebas, inklusif dan terbuka, jauh daripada persaingan dan konfrontasi,” katanya. - Bernama