Anwar beri amaran tiada watikah calon bagi yang terus bersaing

Anwar sewaktu ucapan dasar presiden dan perasmian Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB
Anwar sewaktu ucapan dasar presiden dan perasmian Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua anggota parti agar tidak bersaing sesama sendiri selepas pemilihan parti dan tiada maaf bagi yang meneruskannya.

Tegasnya, jika situasi itu terus berlaku, beliau akan memastikan tiada watikah pencalonan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diberikan kepada mereka yang terlibat, demi perpaduan dan keutuhan parti.

Menurutnya, buat masa ini semua anggota parti harus membina kekuatan daripada kalangan semua kaum dan wilayah untuk menyelamatkan negara ini.

“Saya selaku presiden tidak akan memaafkan anggota di ranting, cabang, Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) atau Wanita yang memilih untuk meneruskan persaingan yang dibuat sebelum pemilihan parti.

“Kalau terus berlaku, saya memberi jaminan bahawa tidak akan ada watikah (pencalonan bertanding PRU15) yang akan sampai kepada saudara saudari. Kita harus membina kekuatan daripada kalangan semua kaum dan wilayah untuk menyelamatkan negara ini.

“Tidak lama lagi, gendang akan dipalu menandakan bermulanya bertarungan sengit dua raksasa, antara kita dan parti kerajaan iaitu gerombolan yang ingin kekalkan sistem yang berselaput dengan rasuah dan meminggirkan rakyat. Kita nak saf yang bertekad meletakkan agenda menjulang PKR bagi rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ucapan dasar presiden dan perasmian Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anwar turut berbangga dengan kemaraan dua tokoh baharu dalam mengemudi AMK dan Wanita PKR dengan Adam Adli yang dipilih mengetuai AMK Fadhlina Sidek yang kini mengetuai sayap Wanita.

“Saya meletakkan harapan supaya mereka menggerakkan semula kegiatan dan menjadi tanggungjawab ketua-ketua cabang, ketua ranting, menteri besar dan Exco untuk memberikan laluan dan ruang yang lebih kepada pemuda dan wanita.

“Kalau tidak, kita tidak akan dapat mencatatkan keadaan yang lebih meyakinkan.

'Selaku presiden, saya akan memastikan saf kepimpinan utama terus utuh, bersatu dan menghormati adat berjemaah dan kekal inklusif merangkul semua kekuatan parti sebagai gerakan rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, Anwar berkata, barisan pengapit presiden yang kesemuanya terdiri daripada kalangan golongan muda dan generasi kedua dalam sejarah PKR diyakini mampu menzahirkan wajah dan pendekatan baharu yang lebih meyakinkan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Rafizi Ramli yang kembali bersama barisan pimpinan sebagai Timbalan Presiden. Begitu juga dengan empat tokoh baharu sebagai Naib Presiden iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Aminuddin Harun yang telah dipilih sebagai Naib-Naib Presiden parti.

“Persaingan ini adalah di antara keluarga yang menunjangi dasar dan idealisme PKR. Khittah atau landasan tersebut telah dirangka lebih dua dasawarsa yang lalu.

“Maka, sewajarnya kita lafazkan penghargaan kepada rakan-rakan yang berjasa dan bersama dalam musyawarah termasuk Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Fuziah Salleh, Akmal Nasir, Fahmi Zainol, dan Rodziah Ismail. Mereka kekal dalam pasukan dan akan terus memberikan sokongan dalam parti,” ujarnya.