12 keping foto dirakam di rumah SM Faisal: Jurufoto polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang jurufoto polis memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa, beliau telah mengambil 12 keping gambar lokasi tempat kejadian dan satu kunci kereta Ferrari di sebuah rumah didiami ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, di Desa Sri Hartamas, di sini tujuh tahun lepas.

Koperal Muhamad Shahmi Yusof, 37, dari Cawangan Fotografi (D6) Bahagian Teknik, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, berkata, kesemua gambar itu dirakam pada 27 November 2015 selepas beliau menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes itu iaitu Inspektor Rosnani Ramli.

"Saya bersama pegawai penyiasat Inspektor Rosnani telah pergi ke rumah tersebut. Saya telah mengambil sebanyak 11 keping gambar tempat kejadian dan satu gambar barang kes. Saya menggunakan kamera jenis digital Canon EOS model 60D dan imej-imej gambar disimpan di dalam kad memori,” katanya.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes SM Faisal yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, saksi itu berkata antara gambar-gambar yang diambil adalah bahagian hadapan rumah, ruang menonton televisyen, bilik tidur utama rumah tersebut dan satu barang kes iaitu kunci kereta jenis Ferrari.

Kepada soalan Nur Aishah, siapa berada di tempat kejadian semasa saksi itu pergi ke rumah berkenaan, Muhamad Shahmi menjawab, OKT (Orang Kena Tuduh) SM Faisal.

Nur Aishah: Adakah SM Faisal yang dimaksudkan berada di tempat kejadian.

Muhamad Shahmi: Ya, saya camkan (sambil memandang ke arah SM Faisal yang berada dalam kandang tertuduh).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, saksi itu berkata SM Faisal yang membuka pintu rumah ketika beliau dan pegawai penyiasat tiba di rumah berkenaan.

Akberdin: Siapa buka pintu rumah itu, SM Faisal atau pembantu rumahnya?

Muhamad Shahmi: SM Faisal yang buka.

Akberdin: Awak pasti ke?

Muhamad Shahmi: Pasti.

Mengikut pertuduhan, SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapaan Majistret Nadia Othman bersambung 1 Ogos ini. - Bernama