Dua 'ulat' kereta sewa dicekup cari pelanggan di KLIA

Dua 'ulat' ditahan kerana menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram di KLIA. - Foto JPJ
Dua 'ulat' ditahan kerana menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram di KLIA. - Foto JPJ
A
A
A

SEPANG - Dua lelaki ditahan kerana menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, tangkapan itu dilakukan susulan intipan pihaknya di sekitar KLIA yang menjadi lokasi 'ulat' kereta sewa terbabit mencari pelanggan.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' tersebut mengenakan tambang kepada penumpang warganegara dan pelancong bukan warganegara antara RM100 hingga RM150 dari KLIA2 ke Kuala Lumpur dan Shah Alam.

"Kedua-dua suspek merupakan lelaki tempatan berusia 65 dan 43 tahun yang menjadikan kenderaan jenis Toyota Innova dan Honda City sebagai kereta sewa haram," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

'Ulat' kereta sewa dipercayai mengenakan bayaran sekitar RM100 hingga RM150 kepada pelanggan untuk perjalanan dari KLIA ke Shah Alam dan Kuala Lumpur. - Foto JPJ
'Ulat' kereta sewa dipercayai mengenakan bayaran sekitar RM100 hingga RM150 kepada pelanggan untuk perjalanan dari KLIA ke Shah Alam dan Kuala Lumpur. - Foto JPJ

Khairul berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan pihaknya dan tindakan tegas akan diambil kepada 'ulat' yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram.

Tegasnya, mana-mana individu didapati bersalah menjalankan aktiviti tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) yang memperuntukkan hukuman denda mencecah RM50,000 atau lima tahun penjara.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA/KLIA 2 ataupun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing," ujarnya.