Meriahkan Karnival BersamaMu sempena sambutan 14 tahun SWCorp

A
A
A

Rizalman (kiri) melepaskan ikan koi ke dalam Tasik Permaisuri simbolik pada Majlis Pra Pelancaran Karnival Bersamamu.
Rizalman (kiri) melepaskan ikan koi ke dalam Tasik Permaisuri simbolik pada Majlis Pra Pelancaran Karnival Bersamamu.

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganjurkan Karnival BersamaMu di Taman Tasik Permaisuri di sini, sempena menyambut hari ulang tahun penubuhannya yang ke-14.

SWCorp turut menawarkan hadiah wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 yang bakal menjadi rebutan sempena Cabaran Joran 3R di Taman Tasik Permaisuri serta pelbagai hadiah cabutan bertuah.

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, Karnival BersamaMu pada Sabtu dan Ahad ini dianjurkan untuk bersama masyarakat dan seterusnya mempamerkan SWCorp sebagai peneraju kebersihan negara.

Beliau berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), SWCorp tidak akan bergerak secara sendirian tetapi akan sentiasa bersama dengan masyarakat.

Menurut Rizalman, penekanan tersebut diberikan kepada hubungan antara SWCorp dengan masyarakat agar agensi berkenaan sentiasa dekat di hati masyarakat, disenangi, mudah untuk dirujuk dan dihormati.

“Matlamat Bersamamu mendukung cita-cita murni untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera dalam menjayakan setiap program signature SWCorp demi merealisasikan impian ini.

Rizalman (tiga dari kiri) bersama Ismail (empat dari kiri) dan De Leong (dua dari kiri) menunjukkan ikan yang dilepaskan ke dalam tasik pada pelancaran SWCorp Karnival BersamaMu yang diadakan di Taman Tasik Permaisuri.
Rizalman (tiga dari kiri) bersama Ismail (empat dari kiri) dan De Leong (dua dari kiri) menunjukkan ikan yang dilepaskan ke dalam tasik pada pelancaran SWCorp Karnival BersamaMu yang diadakan di Taman Tasik Permaisuri.

"Antara programnya ialah Kempen Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS), Value Food No Waste, #JanganGunalah, Buang Sampah ke Dalam Tong Sampah, Trash2Cash, Sukarelawan Hero Kebersihan, Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK), Hari Pekerja Pembersihan, World Clean Up Day, KOSIS, My insPark, PerKISS, Waste-to-Art, #JomTapau dan Recycle Thru Refashion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pra-Pelancaran Karnival BersamaMu yang melibatkan kerjasama strategik bersama 15 agensi kerajaan dan syarikat swasta di Taman Tasik Permaisuri di sini pada Khamis.

Rizalman bersama ketua pegawai yang mewakili rakan-rakan strategik SWCorp turut melepaskan ikan koi ke dalam Tasik Permaisuri sebagai simbolik Majlis Pra-Pelancaran Karnival BersamaMu di tasik berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment Sdn Bhd, Ho De Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz.

RIZALMAN
RIZALMAN

Dalam pada itu, Rizalman berkata, SWCorp melaksanakan pendekatan C4E untuk strategi BersamaMu iaitu communicate (komunikasi), educate (mendidik), engage (mendampingi), enforce (menguatkuasa) dan empower (memberi tanggungjawab) untuk mentransformasikan minda masyarakat ke arah negara bersih, indah dan sejahtera.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik telah disusun sempena Karnival BersamaMu dan para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah termasuk hadiah cabutan bertuah.

Menurutnya, pengisian aktiviti-aktiviti Karnival BersamaMu dimeriahkan dengan Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan Selawat Perdana BersamaMu, Larian BersamaMu, 3R Fun Ride, sukaneka dan sukan rakyat, pameran, Cabaran Joran 3R, pertandingan mewarna, pesta makan buah-buahan serta persembahan artis jemputan tanah air.

"Hasrat SWCorp melalui Karnival BersamaMu ini adalah komitmen penuh daripada semua pihak terutamanya masyarakat untuk bersatu bersama-sama menuju ke arah matlamat yang ditetapkan.

"Harapan SWCorp melalui aspirasi ini masyarakat akan benar-benar menghayati dan mengamalkan penjagaan kebersihan serta pemeliharaan alam sekitar sebagai budaya kehidupan dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi," katanya.

Hadiah lumayan

DE LEONG
DE LEONG



Sementara itu, De Leong berkata, wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 bakal menjadi rebutan sempena Cabaran Joran 3R yang bakal berlangsung di Taman Tasik Permaisuri Ahad ini.

Menurutnya, pertandingan juga diadakan bagi memupuk kesedaran penjagaan kebersihan dan amalan kitar semula melalui inisiatif 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) agar budaya amalan pengasingan sisa di punca dan kitar semula dapat diterapkan dalam kehidupan harian terutamanya kepada para kaki pancing kali ini.

“Pembudayaan yang menekankan tanggungjawab kendiri bagi memastikan keadaan persekitaran bersih dari sampah sarap dapat membantu mengekalkan kebersihan sumber air yang juga menjadi nadi kepada hidupan marin,” katanya.

Beliau berkata, melalui Cabaran Joran 3R ini, peserta perlu membawa minimum satu kilogram barangan kitar semula seperti kertas, tin dan botol.

“Peserta juga wajib membawa botol air dan bekas makanan sendiri serta memastikan tempat memancing mereka bersih,” katanya.

Hadiah ditawarkan dalam Cabaran Joran 3R.
Hadiah ditawarkan dalam Cabaran Joran 3R.

Katanya lagi, seramai 700 penyertaan dijangka akan menyertai pertandingan itu apabila pendaftaran dibuka pada Sabtu sehingga ke hari pertandingan.

“Yuran penyertaan sebanyak RM40 bagi setiap satu Joran akan dikenakan manakala konsep pertandingan pula adalah hadiah sapu bersih.

“Hadiah cabutan bertuah termasuk TV LED 43 inci, mesin pancing serta 500 helai baju untuk pendaftaran awal," katanya.

Dalam pada itu, senarai rakan strategik terlibat dalam karnival ini ialah Alam Flora Sdn Bhd (AFSB), SWM yang Environment Sdn Bhd, Environment Idaman Sdn Bhd, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor (MKN).

Turut terlibat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Alam Flora, Environmental Solution Sdn Bhd (AFES), Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (PERKONS) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).