Pemuda UMNO Terengganu tempelak Razali Idris

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda UMNO Terengganu menempelak Datuk Razali Idris dengan menegaskan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu itu perlu menumpukan kepada hal partinya.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Terengganu, Armi Irzan Mohd berkata, isu kelulusan pindaan perlembagaan adalah hal dalaman dan permintaan ahli UMNO.

“YB Senator tak tahu ke peranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)? Antara peranan RoS ialah untuk menjaga kepentingan dan hak ahli sesebuah pertubuhan.

“Usul ini tidak bermula daripada kepimpinan tertinggi parti, ia bermula daripada akar umbi. Dipersetujui oleh hampir 2,000 perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO dan diabsahkan di Perhimpunan Agung UMNO Khas.

“Ini adalah hal dalaman UMNO dan permintaan oleh ahli UMNO. RoS ditubuhkan untuk melindungi hak ahli sesebuah pertubuhan.

"Dalam hal ini, ahli UMNO meminta agar pindaan perlembagaan dilaksanakan agar pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan sebelum ini berkata, RoS perlu mengikut kehendak ahli UMNO yang lebih memahami kepentingan parti dan bukannya membuat keputusan samberono tanpa justifikasi kukuh.

Shahril juga menggesa agar RoS segera meluluskan pindaan perlembagaan UMNO berkenaan penangguhan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas PRU.

Bagaimanapun Razali menerusi Facebooknya dengan nada menyindir bahawa fasa pemilihan dalam perlembagaan parti UMNO perlu dibuang dan diganti dengan kehendak utama ahli.