KPLB pantau aset elak dituntut waris kesultanan Sulu

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

KUALA NERANG – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi perhatian terhadap tindakan waris kesultanan Sulu yang menjadikan aset Malaysia di luar negara sebagai sasaran tuntutan mereka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana KPLB turut mempunyai beberapa aset hartanah strategik yang dimiliki Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Mara Incorporated dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit.

Menurutnya, KPLB akan memantau isu berkenaan dengan memastikan waris kesultanan Sulu tidak menjadikan aset anak syarikat kementerian berkenaan sebagai sasaran selepas apa yang berlaku kepada Petronas di Azerbaijan, baru-baru ini.

"Saya lihat ini satu perkara yang agak serius, walaupun kita telah mohon tangguh keputusan penimbang tara di Sepanyol dan sekarang kita minta dibatalkan di Mahkamah Perancis pula.

“Tetapi mereka (waris kesultanan Sulu) guna keputusan di Sepanyol dan pergi merata tempat dan cuba ambil harta Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir majlis taklimat khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu, di Kampung Padang Setol di sini pada Khamis.

Mahdzir memberitahu, selain aset di London dan Melbourne, Mara turut memiliki bangunan di Amerika Syarikat dan Mesir yang berkemungkinan turut menjadi sasaran waris keluarga kesultanan Sulu.

“Saya ada berbincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai isu berkenaan secara lebih lanjut.

“Kita ambil perhatian dan ambil berat, tetapi jika kita dapat keputusan (memihak kepada Malaysia) di Perancis, kita kekal dan dia tidak boleh buat apa-apa,” katanya lagi.

Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Tindakan itu akan kekal sehingga Mahkamah Paris membuat keputusan muktamad berkenaan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat Malaysia.