Sediakan pelan mitagasi banjir holistik: PBM

Gambar hiasan (Gambar kecil: Zakaria)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Zakaria)
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) menegaskan sudah tiba masanya pihak berkuasa di negara ini menyediakan satu pelan tindakan mitigasi banjir yang holistik susulan banjir buruk yang berlaku di Selangor pada Disember 2021 diikuti Pahang (Januari 2022) dan Kedah (Julai 2022).

Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap kerajaan persekutuan dan negeri, pakar-pakar pengurusan bencana dan pengurusan alam sekitar meneliti satu pelan tindakan yang benar-benar berkesan bagi menangani masalah banjir itu.

"Sebagai sebuah negara beriklim tropika yang terletak di garisan khatulistiwa, penerimaan hujan yang tinggi sudah tentu menjadi salah satu faktor utama berlakunya banjir di negara ini.

"Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini turut disumbangkan oleh faktor seperti pembangunan tidak terancang, kegagalan penyelenggaraan seperti pembersihan sampah dan rumput rampai dalam sistem perparitan serta kerja mendalamkan sungai secara berkala, dan juga kemusnahan alam sekitar atas nama pembangunan ekonomi," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zakaria menjelaskan, pada ketika ini, tidak wajar pemimpin politik terus menyalahkan antara satu sama lain.

"Ia kerana adalah lebih baik sekiranya semua pihak berganding bahu untuk mewujudkan satu pelan tindakan jangka panjang dan jangka pendek bagi meminimakan impak banjir kepada kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dan juga menyediakan fasiliti secukupnya bagi mengelakkan banjir di kawasan yang berisiko rendah.

"Sebagai contoh, bagi mengelakkan kejadian banjir berlaku di kawasan bandar, adalah penting untuk pihak berwajib segera memainkan peranan yang lebih proaktif, terutamanya dalam menguruskan fasiliti perparitan dan saliran air, terutamanya di kawasan-kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi," ujarnya.

Zakaria menambah, kerajaan juga disaran menyediakan peruntukan tambahan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kerja-kerja pembersihan sistem saliran dan mendalamkan sungai-sungai yang terkesan akibat hakisan.

Menurutnya, bagi pelan jangka panjang untuk mengelakkan kejadian banjir atau banjir kilat berlaku di kawasan bandar, perancangan pembangunan secara lebih teliti akan berupaya untuk memastikan sesuatu kawasan itu tidak terlalu padat, sehingga boleh menyebabkan banyak fasiliti yang disediakan bagi tujuan saliran tidak dapat berfungsi dengan baik.

Bagi kawasan luar bandar pula, tegasnya lagi, antara faktor utama yang perlu diteliti oleh pihak berkuasa adalah masalah kemusnahan hutan (deforestation) yang berlaku secara besar-besaran disebabkan pembangunan pertanian dan pembalakan.

"Dalam hal ini, adalah penting untuk kita menyemak semula dasar berkenaan penggunaan dan pengambilan hasil hutan, kerana ia akan mendatangkan masalah terhadap tanah di kawasan tersebut, sekali gus menyebabkan bencana alam, seperti banjir untuk berlaku dengan lebih kerap.

"Bagi kawasan-kawasan yang telah diteroka, kerja-kerja penanaman pokok dan tanaman tutup bumi perlu dipertingkatkan.

"Jadi, PBM percaya sekiranya pelan tindakan yang benar-benar komprehensif dan holistik dapat diwujudkan, negara kita akan berupaya untuk menangani masalah banjir untuk masa kini dan akan datang," jelasnya.