KPT kemuka tujuh inisiatif tangani kos sara hidup siswa

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengemukakan tujuh inisiatif bagi menangani kos sara hidup mahasiswa di kampus.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia pada Selasa lalu.

"Mesyuarat bersetuju memberi pengecualian bayaran sewaan enam bulan kepada pengusaha kafeteria dan perkhidmatan makanan di institut pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, mesyuarat juga bersetuju menu Keluarga Malaysia RM3.50 di bawah inisiatif Bakul Makanan Siswa hendaklah bersesuaian dan mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT.

"Bagi memantau kenaikan harga dan kos barangan dan perkhidmatan yang melibatkan sara hidup siswa di IPT, Pasukan Pemantau KPT Kos Sara Hidup Siswa (KPTPantau) akan melaksanakan pemantauan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata, inisiatif Food Bank Siswa akan diperkasakan menerusi penubuhan Hab Food Bank Siswa yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barang keperluan siswa.

"Enam hab akan ditubuhkan mengikut zon, iaitu zon utara, zon tengah, zon timur, zon selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak.

"Sebagai projek rintis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju untuk beroperasi sebagai hab bagi zon tengah," katanya.

Noraini berkata, kadar upah bagi program Job on Campus (JoC) akan diselaraskan mengikut Perintah Gaji Minimum 2022.

"Pihak IPT turut disaran untuk meningkatkan jumlah penempatan JoC supaya lebih ramai pelajar, khususnya golongan berkeperluan dibantu dan memperoleh manfaat menerusi program tersebut," katanya.

Ujarnya, Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa yang holistik akan dibangunkan sebagai panduan kepada IPT dalam usaha memperkasakan kebajikan siswa.

"Selain daripada aspek kos makanan, pelan ini turut mengambil kira konteks sara hidup siswa yang lebih luas.

"Ini termasuklah aspek keperluan pengajaran dan pembelajaran seperti pelan data dan peranti, penginapan, pengangkutan dan yuran," katanya.

Tambahnya, KPT akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan bagi membincangkan kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada penyumbang yang menyalurkan tajaan dalam pelbagai bentuk.

"Ini bagi menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat, industri dan juga orang perseorangan menyumbang keperluan siswa," katanya.

Mesyuarat yang dihadiri oleh pengurusan tertinggi KPT, Naib-naib Canselor, wakil univesiti awam (UA), Persatuan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan Presiden dan wakil Majlis Perunding Pelajar Kebangsaan (MPPK) turut bersetuju agar jadual kekerapan pergerakan pengangkutan di dalam dan luar kampus ditambah.

"Menjadi harapan saya agar semoga semua inisiatif yang berpaksikan hasrat memperkasakan kebajikan pelajar di IPT ini akan mendapat sokongan serta kerjasama penuh semua untuk menjayakannya," katanya.