Peniaga bakar pondok direman empat hari

Suspek menunjukkan isyarat jari kepada media ketika dibawa keluar dari Cawangan Mahkamah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.
Suspek menunjukkan isyarat jari kepada media ketika dibawa keluar dari Cawangan Mahkamah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang peniaga kedai makan direman empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah dalam kejadian amuk di Bandar Seri Astana, pada Isnin.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Muhammad Aliff Abdul Aziz ke atas suspek berusia 54 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435/427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Suspek yang berpakaian baju lokap polis menunjukkan pelbagai aksi ketika wajahnya dirakam semasa diiringi anggota polis untuk prosiding reman.

Lelaki itu dikatakan mempunyai masalah rumah tangga, mengamuk selepas gagal mencari bekas isteri di sebuah kedai makan di perumahan berkenaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas mengamuk di tepi jalan dekat Bandar Seri Astana, pada Isnin.

Lelaki terbabit dikatakan memegang parang dan seterusnya bertindak membakar pondok kecil di belakang kedai makan diusahakan bersama bekas isteri.

Suspek dipercayai turut bertindak memecahkan cermin kereta jenis Naza Ria milik orang awam yang diletakkan di situ.

Semakan rekod lampau mendapati, suspek memiliki 12 rekod kesalahan lampau termasuklah lapan berkaitan jenayah dan empat berkaitan dadah.