Isu kerosakan Stadium Shah Alam sejak zaman BN: MB

Stadium Shah Alam. - Foto Awani
Stadium Shah Alam. - Foto Awani
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan kerajaan Selangor tidak membuat kerja-kerja penyelenggaraan Stadium Shah Alam secara berterusan.

Menurutnya, masalah kerosakan dialami sudah berlarutan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kerosakan dialami Stadium Shah Alam memerlukan perbelanjaan tinggi dan ia bukanlah perkara baharu sebaliknya perlu ditangani secara menyeluruh termasuk cadangan merobohkan stadium berkenaan.

"Beliau (Noh) tidak faham apa-apa dan sebab itu beliau keluarkan kenyataan begitu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Korban Perdana PKPS di Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya di sini pada Selasa.

Amirudin (kiri) menanam nangcem (kacukan nangka dan cempedak) semasa lawatannya selepas Mesyuarat Pengurusan Tertinggi PKPS dan Korban Perdana PKPS di Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya di sini pada Isnin.
Amirudin (kiri) menanam nangcem (kacukan nangka dan cempedak) semasa lawatannya selepas Mesyuarat Pengurusan Tertinggi PKPS dan Korban Perdana PKPS di Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Amirudin berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan kajian sejak dari awal lagi berhubung status Shah Alam sama ada perlu diselenggara atau dirobohkan bagi penjimatan kos.

Jelas beliau, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM5 juta setiap tahun bagi kos penyelenggaraan stadium terbabit.

Malah, katanya, kerajaan negeri terpaksa membelanjakan lebih RM30 juta bagi kerja baik pulih sistem perpaipan yang mengalami kerosakan teruk.

"(Peruntukan) tak pernah kurang, tetapi ada beberapa nilai atau bangunan berusia lebih 30 tahun kita kena semak semula.

"Sebab itu kita mesti lakukan semakan yang tepat, baru kita boleh tahu kedudukan bangunan dan masalah bangunan tersebut," ujar beliau.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, UMNO Selangor mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang bercadang merobohkan Stadium Shah Alam kononnya sebagai langkah penjimatan sedangkan ia hanya memerlukan penyelenggaraan secara berterusan.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, stadium itu tidak seharusnya diroboh jika kerajaan negeri mengambil pendekatan menyelenggara dan membaik pulih kerosakan secara konsisten sama seperti di stadium lain di luar negara dan di negeri lain.