'Ya, saya terlibat draf perjanjian TPM'

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

BUKIT GANTANG - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui terlibat dalam perjanjian berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri sepertimana dibangkitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Takiyuddin berkata, penglibatan beliau dalam menggubal perjanjian itu dilakukan atas kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu dan bukan kapasiti parti.

"Saya bekas menteri undang-undang, jadi semua yang berkaitan undang-undang ni memang saya yang guballah, bukan kerana saya ini Takiyuddin atau apa.

"Bila beliau (Muhyiddin) cakap macam tu, betullah tu, sayalah yang kena buat, ia dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA).

"Saya hanya draf, yang tandatangan itu orang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (zon tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerang dekat Trong di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin pada Isnin yang meminta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merujuk kepadanya mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Takiyuddin menyempurnakan penanaman anak pokok beruas sebagai gimik Program Penghijauan Malaysia dalam program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (zon tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerabg dekat Trong pada Selasa.
Takiyuddin menyempurnakan penanaman anak pokok beruas sebagai gimik Program Penghijauan Malaysia dalam program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (zon tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerabg dekat Trong pada Selasa.

Pada Jumaat, Abdul Hadi menyatakan tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara PN dengan Perdana Menteri.

Mengulas perkara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, tidak semua pemimpin mengetahui butiran MoA terbabit melainkan mereka yang terlibat secara langsung ketika menandatanganinya.

"Mungkin soalan itu secara spontan, jadi bila ditanya, beliau kata tidak tahu dan tidak pasti.

"Kena tanya semula Tuan Guru (Abdul Hadi) sama ada tahu atau tidak kerana beliau bukanlah individu yang terlibat atau menandatangani MoA itu," katanya.

Beliau berpandangan, lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bukanlah satu ketetapan yang wajib dilaksanakan kerana tidak termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Jelasnya, sepertimana butiran MoA yang ditandatangani itu ada menjelaskan bahawa pelantikan timbalan itu ada sekiranya Perdana Menteri berhasrat sedemikian.

"Selama ini yang ada Timbalan Perdana Menteri daripada Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir itu adalah undang-undang yang kita sebut konvensyen iaitu amalan yang tidak ada dalam perlembagaan.

"Jadi bila tidak ada (dalam perlembagaan), terpulang kepada Perdana Menteri dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, tidak boleh kata wajib lantik, tak boleh," katanya.