Duda dijumpai tidak sedarkan diri dalam longkang

Tangkap layar rakaman video ketika mangsa ditemui dalam longkang tersebut tular sejak Isnin. (Gambar kecil: Mohd Rosdi)
Tangkap layar rakaman video ketika mangsa ditemui dalam longkang tersebut tular sejak Isnin. (Gambar kecil: Mohd Rosdi)
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang duda tiga anak yang dipercayai dipukul ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah longkang tepi jalan berhampiran bulatan Chempaka, Pengkalan Chepa, di sini pada Ahad.

Lelaki berusia 59 tahun itu ditemukan pada jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat berhubung kejadian pecah cermin kereta dan seorang lelaki tidak sedarkan diri dijumpai di dalam longkang.

“Mangsa adalah seorang duda yang berasal dari Tawang, Bachok dan mempunyai tiga anak.

“Mangsa bekerja sebagai mekanik bergerak dan memakai kemeja T berwarna putih serta berkain sarung ketika ditemui oleh orang awam di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa dipercayai diserang beberapa individu dan mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala.

“Lelaki itu kini dirawat di HRPZ II dan masih belum sedarkan diri serta memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Ujarnya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian yang boleh mengganggu siasatan.

“Saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Ismail ditalian 019-2454124 atau 09-7752200,” katanya.

Rakaman video mangsa dijumpai dalam longkang tersebut tular sejak Isnin.