Jadikan iktibar, belia jangan persenda agama

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Golongan belia diingatkan agar bertindak lebih waras serta menjauhkan diri daripada sikap negatif terutama mempersenda agama Islam.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan wanita membuka baju di khalayak ramai ketika melakukan persembahan itu bukanlah sikap yang baik.

"Perbuatan membuka baju sahaja sudah menjadi perbuatan yang tidak baik tambahan mengaku seorang Islam, membuka tudung, baju, ini bukan sifat manusia.

"Manusia ada rasa malu, jika tiada ini sudah meletakkan diri kita setaraf makhluk diciptakan ALLAH yang tidak mempunyai akal.

"Perkara ini kita perlu jauhi dan berharap anak kita yang melakukan perkara itu bertaubat, jangan hina agama sendiri, jangan jolok hati dan perasaan rakan-rakan yang beragama Islam," katanya ketika ditemui pada Kenduri Rakyat Aidiladha Perikatan Nasional Perak di Manjoi di sini pada Isnin.

Menurutnya, kejadian itu perlu dijadikan iktibar untuk memperbaiki diri.

"Janganlah marah tidak tentu arah sebaliknya lihat pada diri sendiri, banyak perkara perlu diperbaiki dan pada masa sama, kita mengutuk perbuatan menghina agama dan seperti berbangga menayang tubuh badan.

"Sifat negatif perlu dijauhkan dan yang baik perlu dipraktikkan," katanya.

Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan PDRM telah menerima laporan selepas satu klip video berdurasi 54 saat memaparkan persembahan suspek di mana perbuatannya didakwa menghina agama Islam.

Sebelum itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilaporkan telah terkesan klip video berkenaan dan telah menjalankan siasatan awal berhubung perbuatan suspek dalam persembahan berkenaan.

Video yang tular di media sosial itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila suspek yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan pakaiannya yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.