Khairuddin masih kunci mulut walau 'mesra' UMNO

Ahmad (tengah) bersama Mohd Khairuddin (kanan) dan Apli (kiri) ketika sidang media sempena Program Korban Perdana #Keluarga Malaysia Kuala Nerus 2022 pada Isnin.
Ahmad (tengah) bersama Mohd Khairuddin (kanan) dan Apli (kiri) ketika sidang media sempena Program Korban Perdana #Keluarga Malaysia Kuala Nerus 2022 pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali masih mengambil sikap 'kunci mulut' berhubung status dan perancangannya dalam Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15).

Meskipun dilihat 'mesra' UMNO selepas mengumumkan dirinya keluar dari Pas pada Mac lalu, beliau menegaskan semua yang dilakukan demi rakyat.

"Masuk UMNO atau tidak, itu jatuh nombor dua. Apa yang penting sekarang fokus saya untuk rakyat di Kuala Nerus," katanya kepada pemberita semasa Program Korban Perdana #Keluarga Malaysia Kuala Nerus yang turut dihadiri Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusof.

Sementara itu, Ahmad berkata, UMNO Terengganu menyerahkan sebarang keputusan di tangan Mohd Khairuddin untuk menyertai parti itu.

Menurutnya, pihaknya tiada halangan sekiranya bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu berhasrat untuk menjadi ahli parti itu.

"Itu terserah pada beliau. Kita tak boleh nak kata apa. Terserah kepada beliau untuk membuat keputusan," katanya.

Menurut Ahmad, UMNO Terengganu sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sehaluan dengan dasar parti itu demi kepentingan orang Melayu dan Islam di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau sepenuhnya menolak Muafakat Nasional (MN) di negeri itu dan tetap dengan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Pas dalam PRU15 akan datang.

"Tak ada dah (Muafakat Nasional). Saya kan macam ular tedung, kalau kena angin (baik) boleh gosok dan cium kepala, tetapi kalau tepuk kepala 'sorry' lah," katanya.

Dalam program diadakan itu, sebanyak 12 ekor lembu disumbangkan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus manakala 10 ekor lembu lagi disumbangkan oleh UMNO Bahagian Kuala Nerus sempena Program Korban Perdana #Keluarga Malaysia Kuala Nerus 2022