Menteri Luar China lawat Malaysia mulai Isnin

Wang Yi
Wang Yi
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima kunjungan Menteri Luar China yang juga Penasihat Negara, Wang Yi, yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai Isnin.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan semasa lawatan itu, Wang Yi akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Wang Yi juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saifuddin dan Wang Yi dijadual mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan pelbagai bidang kerjasama dan isu dua hala meliputi perdagangan dan pelaburan; teknologi tinggi; ekonomi digital; pengajian tinggi; kerjasama vaksin Covid-19 dan pemulihan pasca pandemik.

"Kedua-dua menteri luar juga akan berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Wang Yi kali terakhir mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dua tahun lepas.

Wisma Putra memaklumkan bahawa hubungan Malaysia dan China terus diperkukuh dan diharmonikan sejak peningkatan jalinan hubungan Malaysia-China ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.

Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian itu tahun depan.

Sejak 2009, China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia, bernilai RM421.07 bilion (US$101.55 bilion) menyumbang kepada 18.9 peratus dan meningkat 27 peratus daripada 2020. - Bernama