Program ibadah korban K-KOMM, agensi erat silaturrahim warga kerja

Para sukarelawan yang mengambil bahagian pada Program Ibadah Korban Anjuran Puspanita Cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dengan kerjasama dengan Kelab K-KOMM melapah daging lembu di pekarangan Masjid Muhamadi Angkasapuri, pada Isnin. - Foto Bernama
Para sukarelawan yang mengambil bahagian pada Program Ibadah Korban Anjuran Puspanita Cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dengan kerjasama dengan Kelab K-KOMM melapah daging lembu di pekarangan Masjid Muhamadi Angkasapuri, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sambutan Aidiladha warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) pada Isnin dimeriahkan dengan program ibadah korban yang dilaksanakan bersama-sama kementerian itu dan agensi di bawahnya yang julung kali diadakan.

Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, aktiviti itu bukan sahaja sebagai menyahut seruan agama namun turut menjadi platform bagi mengeratkan silaturahim semua warga kerja.

"Pada tahun ini, buat pertama kalinya kami (K-KOMM) bersama-sama dengan agensi di bawahnya mengadakan program ini pada hari ini. Kalau sebelum ini ibadah korban melibatkan RTM dan agensi masing-masing tapi pada tahun ini kami buat semuanya sekali.

"Ini dapat mengukuhkan lagi semangat keluarga kalangan warga K-KOMM dan agensi di bawahnya selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia itu sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan masjid Muhammadi RTM, Angkasapuri, pada Isnin.

Beliau berkata, 14 ekor lembu dan empat ekor kibas (kambing) yang telah dikorbankan akan diagih kepada warga kerja dan golongan B40 yang tinggal di sekitar kawasan itu selain dapat memanfaatkan 300 penerima.

Aktiviti yang bermula pada 8.15 pagi itu melibatkan 150 peserta antaranya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan K-KOMM, Kelab K-KOMM, warga kerja Bernama dan RTM.

Hadir sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.

Sementara itu, Mohammad turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program itu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang menyumbang dan dengan adanya program ibadah korban dan juga program masak-masak dengan warga K-KOMM sudah tentu akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara semua warga kerja,” katanya. - Bernama