Rakyat Malaysia di Sri Lanka digesa daftar dengan Suruhanjaya Tinggi

Kementerian Luar Negeri. - Gambar hiasan
Kementerian Luar Negeri. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) menggesa kepada rakyat Malaysia di Sri Lanka supaya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo bagi memastikan keselamatan mereka dan menyediakan bantuan konsular bagi yang memerlukan.

KLN dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, tindakan tersebut memudahkan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya, sekiranya diperlukan.

“Kementerian Luar Negeri memantau rapat perkembangan di Sri Lanka berikutan pergolakan akibat krisis kewangan di negara tersebut.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo telah menghubungi semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Sri Lanka bagi memastikan keselamatan mereka dan memberikan bantuan konsular, sekiranya diperlukan,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang ingin melawat Sri Lanka dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting buat masa ini.

“Rakyat Malaysia di Sri Lanka dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada keselamatan mereka dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” ujar kenyataan tersebut.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Suruhanjaya Tinggi melalui nombor telefon 94774830103; emel, mwcolombo@kln.gov.my dan alamat 45, Rosmead Place, Colombo 07, Sri Lanka