Pusat hiburan degil diserbu, 10 GRO warga asing ditahan

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Usahawan Kepong pada Jumaat.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Usahawan Kepong pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menahan 10 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Taman Usahawan Kepong di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, premis tersebut dikesan masih berdegil dan meneruskan operasi walaupun sudah lima kali diserbu sejak Januari hingga Julai.

Menurutnya, dalam serbuan jam 6.58 petang itu pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga premis dan dua lelaki warga asing menyerupai wanita.

"Polis juga merampas pelbagai peralatan sistem audio dan wang tunai RM159.

"Semakan rekod mendapati hanya seorang suspek warga tempatan mempunyai lima rekod lampau pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 45 tahun akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pada Sabtu bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 B akta sama," katanya.