Ambil semangat berwukuf di Arafah

Arafah #QuranHour yang bersiaran dari Studio Karangkraf turut disertai kira-kira 15 ahli KPMS.
Arafah #QuranHour yang bersiaran dari Studio Karangkraf turut disertai kira-kira 15 ahli KPMS.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Arafah #QuranHour dianjurkan pada Sabtu bersamaan 9 Zulhijjah dengan mengambil semangat berwukuf di Padang Arafah melalui penyerahan jiwa seorang hamba kepada ALLAH SWT secara total.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program tersebut mengajak seluruh umat Islam untuk menghayati al-Quran dan diperkukuhkan lagi semasa berada di Arafah.

Menurutnya, pada tahun ini, program Arafah #QuranHour berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal dengan mengangkat Surah Al-Sajdah ayat 15 dan Surah Al-Hajj ayat 18 dan 77 untuk mengajak seluruh manusia bersujud kepada ALLAH SWT.

“Program ini mengambil momentum perhimpunan terbesar umat Islam menelusuri Surah Al-Sajdah, Surah Al-Hajj dan ayat-ayat pilihan daripada al-Quran dalam membina karakter hamba ALLAH SWT yang bersujud dan patuh.

“Bertitik tolak dari ini, lahirnya nilai-nilai pembinaan tamadun bangsa 'God centered' kesan daripada haji yang mabrur yang diformulasikan daripada al-Quran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, Arafah #QuranHour menyasarkan golongan seperti tetamu, alumni dan bakal haji dari seluruh dunia.

“Kita hendak menghayati semangat perjumpaan terbesar di dunia dengan harapan untuk membawa semangat haji dalam membina umat yang bertakwa.

“Mereka yang ada pengalaman dan latihan dalam melaksanakan ibadah haji diharapkan menjadi ejen perubahan masyarakat selepas kembali ke tanah air,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, manakala Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dibimbing oleh Qari, Amirahman Abas dan sesi tadabbur dibawa oleh Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdulllah Bukhari Abdul Rahim serta Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Dr Mohd Shafiq Sahimi.

Arafah #QuranHour yang buat pertama kalinya bersiaran dari Studio Karangkraf turut disertai oleh kira-kira 15 ahli Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS).

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, program itu juga bertujuan menyuntik penghayatan dan pemahaman ayat-ayat suci al-Quran terhadap jemaah haji ketika berada di Arafah.

“Kalau boleh kita ingin jemaah haji merasakan bagaimana (ayat-ayat) al-Quran masuk ke hati mereka ketika di Arafah.

“Selain itu, program ini diharapkan dapat menyuntik semula suasana di Arafah bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sana. Manakala bagi yang belum pernah pergi, Arafah #QuranHour akan memberi pendedahan dan kefahaman kepada mereka,” katanya.

WUIF bekerjasama dengan pelbagai wakil agensi haji berkongsi pengisian berkaitan ibadah haji pada enam siri program Road to Arafah #QuranHour yang disiarkan di Facebook World Quran Hour dan YouTube QuranHour TV pada Selasa dan Khamis jam 6 hingga 6.45 petang bermula 21 Jun lalu.