Kerajaan digesa tangani masalah penempatan guru di Sabah

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu kerajaan Persekutuan menangani masalah menempatkan guru di Sabah.

Katanya, terdapat 292 guru dari Sabah yang layak diambil bekerja di bawah skim perkhidmatan untuk pelantikan secara kontrak, namun kurang daripada 40 guru yang dapat berkhidmat pada tahun ini.

Tambahnya lagi, ada keperluan mendesak untuk menempatkan guru dari Sabah sendiri dan proses itu melibatkan kos yang lebih rendah serta lebih praktikal berbanding pemindahan guru dari Semenanjung ke Sabah.

"Tiada sebab mengapa guru-guru dari Sabah tidak boleh diambil bekerja kerana ini dapat menyelesaikan kerumitan pemindahan guru dari negeri lain ke Sabah, yang pada asasnya memerlukan kos yang lebih tinggi.

"Tambahan pula, kerajaan telah pun berjanji untuk merealisasikan sasaran nisbah 90:10 guru tempatan berbanding guru luar di Sabah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi perjumpaan melalui aplikasi Zoom bersama guru dari Sabah yang meluahkan perasaan sedih dan kecewa selepas pengumuman pada 28 Mei lalu yang mendedahkan hampir kesemua mereka gagal diambil bekerja di bawah skim perkhidmatan untuk pelantikan secara kontrak.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, negeri ini terus diabaikan oleh kerajaan dalam pelbagai aspek termasuk infrastruktur sehingga ke pendidikan, kesihatan dan kini masalah kekurangan guru di negeri ini telah berada di satu tahap yang kritikal.

"Terdapat juga ratusan sekolah usang di Sabah yang menyebabkan pelajar sekolah tidak mendapat akses pendidikan sama rata seperti yang dinikmati rakan sebaya mereka di negeri lain.

"Kini, hak guru-guru Sabah yang sepatutnya layak diberikan peluang pekerjaan, turut dinafikan dan terabai.

“Adalah sangat memalukan kerana kerajaan gagal memberikan perhatian serius kepada Sabah walaupun dalam perkara berkaitan pendidikan.

"Mereka langsung tidak mendengar masalah yang sentiasa membebani dan menyukarkan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, demi masa depan anak Sabah kerajaan harus menyelesaikan masalah itu secara tuntas dan muktamad.

"Kita sedang membina sebuah negara. Mengapa rakyat Sabah tidak mendapat layanan yang sama rata seperti rakyat Malaysia di Semenanjung? Bukankah kita juga rakyat Malaysia?” katanya.

Sebelum itu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna memaklumkan bahawa isu itu akan dibangkitkan dalam sidang Parlimen yang akan berlangsung pada bulan ini.