Kerajaan perlu umum pakej bantuan ekonomi tambahan: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan seharusnya mengumumkan pakej-pakej bantuan ekonomi tambahan kepada golongan rakyat yang terkesan secara menyeluruh susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan tambahan RM100 dan RM50 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diberikan adalah tidak mencukupi.

“Bank Negara telah menaikkan kadar OPR. Ramai yang tidak puas hati terhadap tindakan ini. Namun begitu, ia merupakan tindakan yang perlu bagi menangani inflasi pada jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, kerajaan perlu memberi fokus kepada anak-anak golongan kurang berkemampuan yang sedang berada di sekolah rendah, menengah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT).

Jelasnya, kerajaan perlu memberikan sejumlah wang bantuan sara hidup kepada pelajar tersebut bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terkesan dengan kenaikan kos sara hidup hasil daripada kenaikan OPR.

“Tambahan lagi, mahasiswa pada tahun akhir yang berada dalam zon transisi daripada pusat pengajian kepada alam pekerjaan memerlukan ‘capital’ yang munasabah dan sokongan yang mencukupi bagi mereka memulakan hidup,” jelasnya.

Menurut Ahmad Zahid, secara keseluruhan, Bajet 2023 memerlukan perhatian dan pendekatan khusus kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam ketidaktentuan ekonomi semasa serta kenaikan kos sara hidup yang semakin mengganas.

“Bantuan kewangan harus disandarkan kepada paras kemiskinan baharu dan juga memfokuskan kepada anak-anak Malaysia yang di sekolah rendah, menengah dan IPT, berdasarkan data yang terkini.

“Mekanisma pelaksanaan pula perlulah lebih efisien dan sampai hingga ke akar masyarakat yang sangat memerlukannya,” katanya.