Satu kes cacar monyet libatkan rakyat Malaysia di Singapura

Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media mengenai perkembangan kesihatan terkini di Pusat Media, Bangunan Parlimen pada Jumaat. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media mengenai perkembangan kesihatan terkini di Pusat Media, Bangunan Parlimen pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes cacar monyet membabitkan seorang rakyat Malaysia yang menetap di Singapura, kelmarin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, lelaki berusia 45 tahun itu berada di Johor Bahru pada 11 dan 12 Jun dan melancong ke Pulau Pinang pada 17 Jun hingga 20 Jun lepas.

Beliau berkata, lelaki berkenaan sekali lagi ke Johor Bahru pada 2 dan 3 Julai, serta sudah mempunyai gejala pada waktu itu.

"KKM sudah mengadakan siasatan terhadap individu itu yang memberi kerjasama secara sukarela maklumat mengenai kontak rapat.

"Setakat ini terdapat 15 kontak rapat dikenal pasti iaitu 14 daripadanya adalah kontak kasual yang berisiko rendah untuk mendapat jangkitan cacar monyet kerana tidak bergejala.

"Seorang sudah dikenal pasti Kementerian Kesihatan Singapura dan sedang menjalani kuarantin di negara itu... punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, pada Jumaat.

Khairy berkata, 14 kontak kasual itu telah dimaklumkan untuk menjalani ujian saringan kesihatan kendiri dan KKM akan terus memantau dan memastikan tiada sebarang jangkitan.

Beliau berkata, KKM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Singapura dalam melengkapkan siasatan kes itu dan maklumat baharu yang diperoleh akan dikongsikan 'Focal Point' negara masing-masing.

Selain itu, beliau berkata sehingga Khamis, sebanyak lima kes disyaki cacar monyet dilaporkan di Malaysia namun beliau mengesahkan kesemua kes itu tidak membabitkan jangkitan wabak itu. - Bernama