PRU15: Pas pertimbang guna logo baharu

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas sedang mempertimbangkan penggunaan logo baharu yang sesuai untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan di dalam parti itu ada dibuat untuk mengubah simbol (logo) bagi mendepani PRU15.

Jelasnya, yang pasti mereka tidak akan menggunakan kedua-dua logo, tanpa merujuk sama ada ia adalah logo Pas dan Perikatan Nasional (PN).

“Kita bincang untuk nak ubah simbol. Kita bincang dalam parti nak buat satu simbol yang baharu dan sesuai.

“Kita akan bincang balik. Yang pasti, bukan bendera dua-dua (logo). Ia masih dalam perbincangan, pilihan raya pun belum tahu,” katanya ketika ditanya pemberita tentang logo dan sama ada Pas tidak akan menggunakan logo PN dalam PRU15 sewaktu ditemui di Marang, pada Jumaat.

Sementara itu, mengulas mengenai jangkaannya tentang PRU15, Abdul Hadi berkata, pilihan raya akan dibuat mengambil kira suasana ekonomi dunia.

Katanya, sehingga kini, mereka masih berpegang kerajaan sedia ada akan memerintah sehingga habis tempoh.

“Namun, kalau keadaan terdesak, boleh ubah bila-bila masa. Bila-bila masa lepas (bentang) bajetlah. Nak bentang bajet dulu, lepas bajetlah,” katanya.