Dugaan Aidiladha: Empat rumah musnah dalam kebakaran

Keadaan rumah mangsa yang musnah 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Panji pada Jumaat.
Keadaan rumah mangsa yang musnah 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Panji pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua hari menjelang Hari Raya Aidiladha, tiga keluarga terpaksa hadapi ujian getir apabila tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Panji pada Jumaat.

Kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 11.15 pagi melibatkan empat buah rumah dengan tiga kediaman musnah seratus peratus manakala sebuah lagi terbakar 25 peratus pada bahagian dapur.

Bagaimanapun, 20 penghuni empat rumah berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Seorang mangsa yang juga penjawat awam, Mohd Afifuddin Sulaini, 24, berkata, kebakaran disedari berlaku selepas ibunya, Johanna Mohamad, 49, mendengar jeritan kanak-kanak yang sedang bermain di luar rumah memaklumkan ada asap di atas rumah.

"Ketika itu, saya dan adik-adik sedang tidur. Terkejut bila dengar jeritan ibu maklum ada asap dan bila keluar saya nampak memang ada asap di tingkat atas (rumah dua tingkat)

"Kami terus keluar selamatkan diri tanpa sempat mengambil barang berharga. Lima minit selepas itu api mula marak dan saya hanya sempat melarikan kereta dan motosikal sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Bapanya, Sulaini Said, 55, berkata, dia menerima panggilan telefon dari isterinya sekitar jam 11.30 pagi ketika berada di Bukit Payong, Marang memaklumkan rumah mereka hangus terbakar.

Ketika itu katanya, tiada apa yang mampu dilakukan selain berharap isteri dan enam anaknya berusia antara 11 hingga 24 hingga tahun yang berada di dalam rumah selamat.

Salah sebuah rumah mangsa yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Panji pada Jumaat.
Salah sebuah rumah mangsa yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Panji pada Jumaat.

"Sebaik sampai, saya tengok rumah sudah hangus terbakar dan bomba sedang padamkan kebakaran. Semua dokumen penting, barang kemas dan wang tunai hangus tidak dapat diselamatkan.

"Namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat," katanya yang reda dengan kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Che Hasliza Che Awang, 49, berkata, dia meminta suaminya, Yusuf Othman, seorang pesakit jantung keluar segera selepas menyedari tingkat atas rumah jirannya yang terletak kira-kira 1 meter terbakar.

Jelas surirumah itu, dia juga meminta bantuan orang ramai mengalihkan tong gas yang baharu dibeli ke tempat selamat bagi mengelak berlaku letupan.

"Saya dengan suami hanya keluar sehelai sepinggang. Barang-barang lain semua tidak sempat diselamatkan," katanya yang bercadang untuk pulang ke Kelantan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, empat jentera bomba bersama 23 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, jarak rumah yang terlalu hampir menyebabkan api mudah merebak dengan cepat namun kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 12.51 tengah hari.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.