JPKM bantu 260,000 pelajar tercicir sambung pengajian

Tengku Zafrul (depan, tiga dari kanan) diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bersama guru dan pelajar pada Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di Dewan Dato' Penggawa Permatang pada Jumaat.
Tengku Zafrul (depan, tiga dari kanan) diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bersama guru dan pelajar pada Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di Dewan Dato' Penggawa Permatang pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) berjaya membantu 260,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian ke institusi awam dan swasta serta kemahiran teknikal pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha itu dilakukan bagi membantu anak-anak golongan B40 di pedalaman merubah nasib mereka melalui pendidikan.

Menurutnya, kementeriannya sentiasa menyokong program dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dalam memberi peluang kedua kepada pelajar untuk meneruskan pendidikan ke tahap tertinggi.

"MOF akan terus menyokong usaha ini kerana terdapat 260,000 anak-anak Keluarga Malaysia termasuk di Kuala Selangor diberi peluang untuk menyambung pengajian tinggi dan kemahiran," katanya pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di Dewan Dato' Penggawa Permatang di sini pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata, dalam program itu juga, seramai 1,500 pelajar di daerah Kuala Selangor menerima tawaran menyambung pengajian masing-masing.

Katanya, semua mereka itu terpilih untuk menyambung pengajian di 19 institusi pendidikan tinggi dan kemahiran semasa penganjuran Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia.

Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata, Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia mempunyai objektif jelas iaitu demi merubah masa depan pendidikan anak bangsa, masyarakat dan negara.

"Saya tersentuh menonton video Jelajah Pendidikan sebelum ini, ada pelajar yang telah mencuba sebanyak empat kali ke menara gading tetapi tetap tidak berjaya mendapat peluang tersebut dan telah menunggu untuk tempoh masa yang lama.

"Namun menerusi penganjuran Jelajah Pendidikan, pelajar tersebut berjaya dibantu dan diterima masuk untuk menyambung pengajiannya di Institusi Kemahiran Teknikal iaitu di GiatMara," jelasnya.

Katanya, beliau difahamkan siri jelajah itu dijangka mendekati golongan bersasar di 50 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Justeru, katanya, program itu seharusnya dimanfaatkan oleh penduduk di Kuala Selangor bagi mengangkat budaya ilmu ke tahap tertinggi.

"Saya percaya, pelaksanaan program ini akan memberikan satu semangat baharu kepada anak-anak Kuala Selangor dalam meneruskan aspirasi mereka ke menara gading seterusnya mencipta kejayaan yang besar di dalam hidup," ujarnya.