Nafas jual ayam RM9 seekor sempena Aidiladha

Hasnan (kiri) menunjukkan ayam super yang dijual pada harga RM9 seekor sempena Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia Sempena Aidiladha di RTC Perak, pada Jumaat.
Hasnan (kiri) menunjukkan ayam super yang dijual pada harga RM9 seekor sempena Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia Sempena Aidiladha di RTC Perak, pada Jumaat.
A
A
A

GOPENG - Bagi mengurangkan beban orang ramai khususnya mereka yang akan menyambut Aidiladha, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menjual ayam RM9 seekor di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini bermula Jumaat.

Harga istimewa itu diberikan sempena Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia Sempena Aidiladha kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak.

Wakil jualan Nafas di Perak, Hasnan Abu Kassim berkata, sebanyak 500 hingga 1,000 ekor ayam disediakan selama dua hari sehingga Sabtu untuk orang ramai yang hadir ke program tersebut.

Menurutnya, harga istimewa itu ditawarkan bagi meringankan beban ditanggung rakyat ketika ini susulan kenaikan kos sara hidup.

"Memandangkan hari ini orang ramai masih bekerja, stok jualan ayam ketika ini masih lagi banyak dan kita jangkakan jualan lebih rancak mulai esok.

"Kebanyakan pembeli merupakan pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang singgah sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat RTC Perak sebelum meneruskan perjalanan ke utara tanah air," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di RTC Perak, di sini pada Jumaat.

Hasnan berkata, kesemua ayam tersebut dibawa dari kilang Nafas di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia Sempena Aidiladha beroperasi sejak Khamis sehingga Sabtu di RTC Perak pada Jumaat.
Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia Sempena Aidiladha beroperasi sejak Khamis sehingga Sabtu di RTC Perak pada Jumaat.

Menurutnya, ayam-ayam dijual merupakan ayam super yang sudah dibuang kepala, kaki dan organ dalaman dengan berat lebih kurang 1kg.

Katanya, operasi Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia Sempena Aidiladha bagi ayam bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Jelas Hasnan, tempoh masa jualan yang singkat terpaksa dilakukan bagi mengelak daging ayam rosak.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi jualan mendapati pelbagai barangan keperluan lain turut dijual seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan kering.

Turut dijual pelbagai makanan seperti kuih raya, biskut, kerepek, rendang dan sebagainya.