Menteri minta siasatan terperinci kes bakal haji terkandas

Seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA pada Khamis selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan. - Foto Bernama
Seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA pada Khamis selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Beliau berkata, sekiranya wujud sebarang unsur penipuan, pihak yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

Menurutnya, ia adalah sebagai pengajaran kepada semua pihak agar kes sedemikian tidak berulang lagi.

Idris - Foto Bernama
Idris - Foto Bernama

“Saya mengambil maklum berkenaan isu bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA dan Hotel Movenpick KLIA melibatkan hampir 400 orang.

“Saya juga telah dimaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap perkara ini dan tindakan juga telah dimulakan bagi proses siasatan.

“Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan urusan rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Idris dalam pada itu turut menasihatkan umat Islam di Malaysia supaya sentiasa mendapatkan nasihat yang tepat daripada pihak Tabung Haji meskipun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan ibadah haji.

“Saya minta agar rakyat Malaysia terutama umat Islam berwaspada dan berhati-hati dalam kes seperti ini dan sentiasa mendapatkan nasihat yang tepat daripada pihak TH.

“Saya memohon kepada pihak yang teraniaya dan seluruh keluarga yang terlibat agar tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan ALLAH SWT, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Makkah,” ujarnya.