Malaysia, Turkiye meterai 7 MoU perkukuh hubungan dua hala

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika mengadakan sidang media di Kompleks Presiden. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika mengadakan sidang media di Kompleks Presiden. - Foto Bernama.
A
A
A

ANKARA - Para pegawai Malaysia dan Turkiye daripada sektor awam mahupun swasta pada Khamis menandatangani tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang untuk terus memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya, Presiden Recep Tayyip Erdogan menyaksikan majlis menandatangani MoU itu di Istana Presiden di sini yang merintis jalan kepada kerjasama dan perkongsian pengetahuan dalam bidang sains, pertahanan, teknologi serta akademik.

Kesemua MOU ditandatangani sempena lawatan rasmi Ismail Sabri yang tiba di republik itu pada Selasa.

Antara pihak yang menandatangani MoU ialah Kementerian Kesihatan kedua-dua negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan Direktorat Komunikasi Turkiye; Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dengan Institusi Penyelidikan Saintifik dan Teknologi Turkiye (Tubitak).

MIGHT turut menandatangani MOU dengan Turkish Aerospace Industries (TAI) disusuli SilTerra Malaysia Sdn Bhd dengan TUYAR Mikroelektronik AŞ; MA Analytics Sdn Bhd dengan Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) dan NS corporation with TAI.

TAI dan MIGHT menjalin kerjasama untuk memudah cara pemindahan teknologi aeroangkasa yang relevan, ilmu dan pengetahuan kepada Malaysia, dengan meraih manfaat daripada Turkiye serta TAI, yang memiliki pengalaman 50 tahun dalam industri aeroangkasa.

Pemindahan teknologi itu akan membantu Malaysia berhijrah daripada aktiviti Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) kepada kapasiti pengeluaran penuh ke arah menjadikan Malaysia negara Pengilang Peralatan Asal (OEM) dengan mencontohi poses evolusi teknologi yang berjaya ditempuhi Turkiye.

Dalam bidang serupa, TAI dan NS Corporation akan menjalin kerjasama bagi pembangunan Lembah Aeroangkasa NS (NSAV) serta Lembah Kenderaan Tanpa Pemandu (UVV) di Negeri Sembilan.

UVV akan menempatkan kilang pembuatan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), Kenderaan Permukaan Tanpa Pemandu (USV), Kenderaan Dalam Air Tanpa Pemandu (UUV) dan Kenderaan Darat Tanpa Pemandu (UGV). - Bernama