Filem Mat Kilau kutip RM53 juta dalam tempoh 13 hari

Filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ arahan Syamsul Yusof terus mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih kutipan tiket berjumlah RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.
Filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ arahan Syamsul Yusof terus mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih kutipan tiket berjumlah RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.
A
A
A

SHAH ALAM - Filem biografi epik, ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ terus mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih kutipan tiket berjumlah RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.

Pengarahnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof menerusi hantaran video di Instagram berkata, jumlah kutipan tersebut sangat luar biasa, malah terbukti filem Malaysia boleh pergi jauh.

Syamsul Yusof bagaimanapun turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penonton kerana terus menyokong filem arahan beliau itu.

“Saya nak ucap terima kasih banyak kepada mereka yang menghantar pesanan secara terus (DM) menerusi Instagram. Beribu-ribu DM, tetapi saya hargai anda semua. Filem Mat Kilau hari ke-13 masih ditayangkan dan mendapat sambutan menggalakkan.

“Setakat ini RM53 juta. Luar biasa. Ini semua kuasa ALLAH. Walaupun hari bekerja, masih penuh. Terima kasih banyak semua. Filem Malaysia boleh pergi jauh. ALLAH Maha Besar,” katanya.

Sebelum ini, Syamsul Yusof turut menjangkakan filemnya itu bakal mengutip RM60 juta biarpun ada yang menjangkakan hasil kutipan boleh ditambah sehingga mencecah RM80 juta hingga RM100 juta.

Sejak ia mula ditayangkan pada 23 Jun lepas, filem yang diinspirasikan daripada sejarah tanah air itu telah berjaya menjadi antara perbualan utama di media sosial selain membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika hadir ke pawagam.

Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibintangi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.