Vape, e-rokok makin popular dalam kalangan belia wanita

Subbarow menggesa KKM dan pihak berkuasa lebih tegas terhadap penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan rakyat Malaysia terutama golongan belia.
Subbarow menggesa KKM dan pihak berkuasa lebih tegas terhadap penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan rakyat Malaysia terutama golongan belia.
A
A
A

GEORGETOWN - Penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape didapati semakin meningkat dalam kalangan golongan muda terutamanya wanita.

Aktivis Anti Tembakau dan Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, walaupun banyak risiko tentang penggunaan vape diketengahkan, masih ramai yang belum sedar malah semakin meningkat dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, tinjauan yang dibuat mengenai penggunaan vape dalam kalangan golongan muda mendapati, semakin ramai anak gadis ketagih dengan peranti tersebut.

"Penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan generasi muda ini telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu. Walaupun bahaya vape dan e-rokok ini kerap disebarkan, masih ramai yang tidak mengendahkannya.

"Mereka tidak sedar bahaya yang bakal mereka hadapi kelak. Lebih teruk, ada yang menggunakan cecair perasa yang mengandungi nikotin," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, beberapa tinjauan yang dijalankan mendapati, kebanyakan pengguna vape termasuk pelajar tahu mengenai bahaya yang menanti mereka.

"Mereka tahu risiko terhadap kesihatan mereka namun tetap juga mahu menghisapnya. Penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan remaja perempuan terutamanya pelajar adalah satu krisis.

"Faktor senang didapati selain harga yang tidak terlalu mahal menyebabkan mereka sering menghisap vape. Jika kita lihat, merata-rata orang jual vape malah ada yang menjualnya secara ansuran, termasuk di kawasan luar bandar," katanya.

Selain itu katanya, vape dijual dengan pelbagai perisa merupakan faktor utama ia menjadi pilihan ramai ketika ini.

Jelasnya, sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membendung masalah tersebut, lebih ramai generasi muda dijangka terdedah dengan risiko menghisap vape pada masa hadapan.

"CAP menggesa KKM dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak mengeluarkan lesen baharu untuk membuka kedai vape atau e-rokok. Ketika ini di Pulau Pinang, banyak gerai di tepi jalan menjual alat vape dan e-rokok pada harga serendah RM50.

"Tindakan undang-undang mesti diambil terhadap premis-premis ini selain KKM perlu mengharamkan vape dan e-rokok untuk generasi yang sihat.

"Lebih banyak kempen pendidikan kesihatan harus dimulakan di sekolah dan universiti. Ibu bapa harus memainkan peranan yang sangat penting untuk mendidik anak-anak mereka," katanya.