Pewaris peneroka FELDA lega adik beradik sepakat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Kesepakatan yang dicapai bersama enam beradik bagi melantik dirinya sebagai Pentadbir bagi tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang diteroka oleh Allahyarham orang tua memberi kelegaan buat Hassan Madun, 66.

Hassan dari FELDA Tun Ghafar Kemendore, Wilayah Segamat, kini merupakan peneroka ganti (Pentadbir) yang telah termaktub secara rasmi dan bertanggungjawab memastikan segala hasil yang diperolehi daripada tanah-tanah yang diusahakan serta diagihkan mengikut persetujuan bicara kuasa.

HASSAN
HASSAN

Menurut Hassan, dia membantu menguruskan hasil tanah sejak 2015 setelah ibunya yang juga penama bagi tanah tersebut meninggal dunia.

Namun, menyedari kepentingan isu pewarisan dan atas nasihat pihak FELDA, dia mengambil keputusan untuk menguruskan proses pelantikan pentadbir atau peneroka ganti berdasarkan lunas undang-undang yang tersedia.

“Pada mulanya saya dinasihati oleh petugas di rancangan FELDA untuk melakukan pelantikan Pentadbir, petugas FELDA di rancangan ini ada beri penerangan kepada saya, selepas itu saya buat apa yang diarahkan oleh FELDA untuk peringkat-peringkat permohonan yang seterusnya”

“Pewaris memang perlu ada sebab sebarang perkara, FELDA akan maklum kepada pewaris dan pewaris itu akan maklum pada waris-waris lain. Kalau tak ada pewaris, nak bekerja dan uruskan (tanah) susah”

“Contohnya, sekarang dah keluar hasil. Bila dah keluar hasil, nanti jika pewaris tiada, adik beradik lain juga tidak tahu. Jika mereka tidak mendapat penerangan yang betul, bimbang jika ada yang tidak puas hati”.

“Akan jadi masalah jika pembahagian hasil tidak dibuat dengan adil. Ada yang ambil lebih, tak beri adik beradik, Itu yang menjadi masalah. Akhirnya jadi bergaduh,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini”.

Bercerita lanjut, Hassan berkata, dia bersyukur kerana proses pelantikan dirinya sebagai Pentadbir bermula 2020 hanya mengambil masa selama dua tahun berbanding kes-kes tertentu yang mengambil masa lebih lama. Tambah beliau, petugas pejabat FELDA di rancangan banyak membantu beliau dari segi penyediaan borang kepadanya dan adik beradik lain.

“Saya ikut sahaja, kalau saya tak tahu, saya akan terus rujuk pejabat rancangan”

Namun menurut beliau juga, tempoh masa lama untuk selesai juga kadang kala boleh

disebabkan oleh ketidaksepakatan yang boleh menganggu kelancaran proses bicara kuasa.

“Saya buat apa yang diarahkan oleh FELDA. Ketika dalam proses, jangan ada pertelagahan adik beradik. Bila ada pertelagahan, akan melambatkan lagi proses”

“Jadi apa yang kami buat, kami kumpulkan semua adik beradik seramai enam orang yang masih hidup ini, diketuai oleh abang sulung saya dan berbincang serta semua bersepakat membuat keputusan melantik saya,” katanya.

No Image Caption

Pelantikan Hassan sebagai Pentadbir adalah sah daripada segi undang-undang, maknanya bertanggungjawab dan amanah untuk melaksanakan secara telus itu adalah dibawahnya.

Hassan berkata, atas amanah yang diberikan juga, mereka bersepakat menyediakan satu akaun bank khas atas nama bersama adik beradik lain untuk sebarang transaksi hasil tanah.

“Semua hasil dimasukkan ke akaun tersebut, segala maklumat keluar masuk wang juga direkodkan dan dalam pengetahuan semua waris”.

“Jadi pesanan saya, berkumpullah adik beradik cara baik cara aman untuk selesaikan proses pewarisan ini segera,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua petugas di FELDA Tun Ghafar Kemendore kerana telah banyak membantu beliau serta keluarga dalam memastikan permohonan bicara kuasa untuk pelantikan Pentadbir.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua petugas pejabat FELDA kerana telah bantu saya mengurus permohonan untuk pelantikan Pentadbir harta pusaka Allahyarham orang tua saya”

Difahamkan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini membabitkan peneroka ganti (Pentadbir) yang dilantik, proses mengganti Pentadbir baharu boleh dibuat melalui permohonan ulang bicara kuasa yang akan dikendalikan oleh Pegawai Pusaka (Unit Pusaka Kecil Daerah).

Tambahan pula permohonan bicara kuasa secara atas talian (MyeTaPP) yang telah disediakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG) boleh dilaksanakan melalui pautan seperti berikut:

https://www.myetapp.gov.my/

PROSES PEWARISAN UNTUK WARGA FELDA

No Image Caption

STATISTIK SELESAI PERTUKARAN/ PENGGANTIAN NAMA WARIS FELDA

No Image Caption