Tuntutan guru akibat penyakit kritikal meningkat

Syarifah (dua dari kanan) menerima bantuan Khairat Kematian Allahyarham Hafizan daripada Ahmad Yani selepas Sesi Libat Urus Bersama PPD Kota Bharu di SMK Sultan Ismail pada Rabu. Turut kelihatan, Wan Munadi (kanan).
Syarifah (dua dari kanan) menerima bantuan Khairat Kematian Allahyarham Hafizan daripada Ahmad Yani selepas Sesi Libat Urus Bersama PPD Kota Bharu di SMK Sultan Ismail pada Rabu. Turut kelihatan, Wan Munadi (kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Tuntutan manfaat kewangan ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang berusia antara 35 hingga 55 tahun kini semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, tuntutan itu antara lain membabitkan kematian akibat penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan kanser.

Menurut beliau, sejak tahun 1994 penubuhan yayasan tersebut, tuntutan kewangan yang disediakan ialah lebih RM20 juta.

"Penyakit kritikal dalam kalangan guru kini agak ketara. Kita nasihatkan golongan guru ini menjaga kesihatan dan ada jaminan perlindungan," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama PPD Kota Bharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Drs Ahmad Yani Muhammad.

Wan Munadi sebelum itu turut menyampaikan bantuan Khairat Kematian kepada Syarifah Mohd Nor, 53, iaitu balu kepada seorang ahli YGMB yang meninggal dunia pada awal Jun lalu.

Sementara itu, Syarifah berkata, beliau tidak menyangka keputusan arwah suaminya menyertai Khairat Kematian melalui Skim 18, YGMB rupa-rupanya menjadi penyambung rezeki untuk anak-anak mereka.

Guru Sejarah Sekolah Menengah Pangkal Kalong, Kok Lanas itu berkata, arwah suaminya, Hafizan Salleh menyertai skim berkenaan pada Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut ibu kepada tiga anak berusia 20 hingga 24 tahun itu, wang berjumlah RM27,012.32 berkenaan akan dibelanjakan untuk pembiayaan pendidikan anak-anak sehingga peringkat tertinggi.

"Saya juga mahu menggalakkan mereka menyambung pengajian. Anak sulung kini sedang belajar dalam bidang perubatan, manakala anak kedua dan ketiga masing-masing dalam bidang kulinari dan reka fesyen," katanya.

Menceritakan kejadian sebelum suaminya meninggal dunia, Syarifah berkata, suaminya tiba-tiba sesak nafas dan minta ditemani ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Saya mengambil keputusan menghantarnya ke sebuah klinik berdekatan kerana jarak dari rumah kami di Pulai Chondong ke HUSM ialah 50 kilometer," katanya.

Bagaimanapun, bekas Pegawai PPD Bahagian Swasta itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik terbabit.

"Arwah tiada sejarah penyakit jantung tetapi tiba-tiba mengadu sesak nafas," katanya.

Selain itu, Syarifah berkata, beliau turut menjadi ahli YGMB sejak Mac lalu kerana banyak memberi manfaat kepada ahli dan keluarga.