Kualiti lagu lebih penting daripada sogokan wang: Hafiz

Hafiz ketika dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalau Macam Ini, Lingkup Industri Muzik’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Hafiz ketika dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalau Macam Ini, Lingkup Industri Muzik’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun berpandangan bahawa peranan kualiti sesebuah lagu amat penting berbanding sogokan wang daripada sesetengah individu supaya ia terus diputarkan dalam platform stesen-stesen radio tempatan.

Ujar Hafiz, jika kualiti sesebuah lagu itu bagus dan menarik perhatian pendengar, sudah pasti stesen radio dan platform digital lain tetap akan memainkan lagu tersebut.

“Macam saya sebagai penyanyi dan komposer, saya memang pentingkan kualiti produk itu dulu. Jadi kita tidak boleh bergerak sendiri.

“Sekarang ini apabila kita sebut industri muzik, kita ada syarikat rakaman, pengurusan, perhubungan awam dan promoter yang (kita perlu) bekerjasama, jadi kita kena tahu bila kita nak keluarkan album? Sesuai atau tidak? Adakah orang masih lagi nak mendengar lagu kita.

“Jadi saya rasa dalam zaman sekarang ini, kalau isu-isu rasuah dalam putaran radio ini, pada saya lambat-laun akan terhidu juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalau Macam Ini, Lingkup Industri Muzik’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang dikendalikan Zaim Zaini itu turut menampilkan Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Ab Majid dan bekas Penyampai Radio, Ikhwan Lein manakala Zaim Zaini sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, keadaan industri di Indonesia yang mana lebih aktif berbanding dengan industri tempatan juga jarang berlaku isu korupsi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia kerana pihak mereka menggunakan segala saluran yang ada bagi memastikan lagu mereka berkualiti.

“Sebenarnya kualiti itu adalah tajuknya, bukan pasal kualiti wang ringgit yang kita nak beri rasuah sebab ia tidak akan beri impak apa-apa pun.

“Saya tengok di Indonesia ini, mereka lagi berlumba-lumba (keluarkan lagu). Mungkin di Malaysia ini dalam 60 hingga 80 lagu dikeluarkan, tetapi di Indonesia mereka mungkin 10 kali ganda (berbanding kita).

“Mungkin 1,000 lagu dalam sehari dikeluarkan,” ujarnya.