Speedy Tigers mohon imbuhan persiapan ke Piala Dunia 2023

IMBAS KEMBALI...Speedy Tigers mengesahkan slot ke Piala Dunia 2023 pada 28 Mei lalu secara merit. Foto: Asian Hockey Federation
IMBAS KEMBALI...Speedy Tigers mengesahkan slot ke Piala Dunia 2023 pada 28 Mei lalu secara merit. Foto: Asian Hockey Federation
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) sedang merangka kertas kerja memohon imbuhan buat skuad The Speedy Tigers bagi membuat persiapan ke Piala Dunia 2023 di India pada 13 hingga 29 Januari tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, dana tersebut diperlukan antaranya untuk mengambil jurulatih fizikal yang berkepakaran tinggi sebagai langkah meningkatkan lagi prestasi skuad bimbingan A Arul Selvaraj itu sebelum beraksi di kejohanan berprestij tersebut.

Beliau berkata, kertas kerja itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

"Ini bukan imbuhan nak beri wang ringgit kepada pemain, tapi ia dana tambahan yang diguna pakai KHM untuk pasukan kebangsaan supaya dapat beri saingan yang hebat.

"Beberapa bulan ini sangat penting dan kritikal buat mereka dan kami perlukan sokongan daripada kerajaan," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Menurut Subahan, Arul dan pengurus pasukan Datuk Mirnawan Nawawi telah membuat beberapa permintaan termasuk skuad kebangsaan memerlukan jurulatih fizikal sebagai contoh pasukan India yang mengambil pakar dari luar negara.

Beliau turut berharap usaha itu dapat meningkatkan lagi kedudukan skuad Speedy Tigers, yang kini menduduki tempat ke-10 dunia, untuk berada di ranking yang lebih tinggi selepas beraksi di kejohanan tersebut.

Sementara itu, Subahan berkata, KHM dengan kerjasama Kelab Diraja Selangor (RSC) bakal menganjurkan Kejohanan Hoki Antarabangsa Veteran 9-sebelah 2022 di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara bermula 18 hingga 20 November ini.

Beliau berkata, sempena kejuaraan itu, kejohanan melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah akan turut diadakan. - Bernama