Semua kementerian perlu tingkatkan komunikasi strategik: Annuar

Annuar ketika Sesi MenKOMM bersama Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan di Kementerian Komunikasi pada Rabu. - Foto Bernama
Annuar ketika Sesi MenKOMM bersama Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan di Kementerian Komunikasi pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Setiap kementerian perlu mempertingkatkan komunikasi strategik masing-masing bagi memastikan setiap keputusan strategik kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan tepat dan cepat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, keputusan kabinet itu juga mahu kementerian memperhebatkan penyampaian maklumat bagi membolehkan rakyat memahami setiap perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini adalah baik dan rasional.

"Jemaah Menteri mahu kementerian-kementerian pastikan penyampaian maklumat kepada rakyat diperbaiki, dipertingkatkan lagi kerana kita tahu di luar sana rakyat mahukan lebih banyak maklumat untuk sampai kepada mereka

"Beberapa keputusan strategik kerajaan juga perlu diperjelaskan dengan baik kepada rakyat... kita perlu tingkatkan kefahaman rakyat tentang apa yang berlaku dan rasional terhadap tindakan yang kerajaan lakukan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Komunikasi Strategik YB MenKOMM bersama Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.

Annuar berkata, pelaksanaan dan perancangan komunikasi strategik setiap kementerian juga akan dilaksanakan dengan lebih bersepadu dengan budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri perlu diketepikan.

"(Komunikasi strategik) akan dibuat dengan lebih bersepadu dan akan menyokong antara satu sama lain contohnya walaupun permasalahan dilihat sebagai di bawah satu kementerian tetapi dari segi komunikasi kerajaan, ia perlu ditangani berbagai kementerian secara bersama," katanya.

Annuar berkata, Kementerian Kewangan juga telah membantu menyalurkan peruntukan yang besar bagi membolehkan setiap kementerian memperkasa komunikasi strategik mereka.

"Dulu (peruntukan) untuk komunikasi kecil sahaja dan saya rasa ia telah diberi peningkatan 10 kali ganda," katanya.

Mengenai sesi libat urus tersebut, Annuar berkata, beliau menerima maklum balas baik daripada semua kementerian yang menyatakan komitmen untuk meningkatkan komunikasi strategik dan kaedah penyampaian maklumat kepada rakyat.

Antara yang hadir dalam sesi itu adalah ketua-ketua setiausaha, ketua unit komunikasi kementerian dan setiausaha akhbar kepada menteri. - Bernama