Suspek tikam ibu positif dadah

Suspek depan (dua,kiri) disahkan positif dadah jenis syabu. (Gambar kecil: Zainol)
Suspek depan (dua,kiri) disahkan positif dadah jenis syabu. (Gambar kecil: Zainol)
A
A
A

MELAKA - Suspek yang dipercayai menikam ibunya hingga mati dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, pada Selasa disahkan positif dadah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan, suspek berusia 38 tahun itu didapati positif dadah jenis syabu.

Menurut Zainol, suspek yang merupakan seorang duda turut mempunyai rekod sebagai pesakit psikiatrik.

"Ujian air kencing mendapati lelaki tidak bekerja itu positif dadah jenis Amphetamine.

"Pemeriksaan di tempat kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang," katanya ketika dihubungi, pada Rabu.

Tambah beliau, bedah siasat ke atas mangsa masih dijalankan dan dipercayai selesai pada hari ini (Rabu).

Suspek yang merupakan anak sulung daripada lima beradik kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada Selasa, seorang pesakit mental menikam ibunya yang juga pesara guru sehingga mati dipercayai selepas terdengar bisikan menyuruhnya membunuh dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu.

Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai menikam ibunya yang berusia 63 tahun menggunakan pisau pemotong sayur selepas mangsa keluar dari bilik air.