Hantar bunga raya kepada Kedutaan Besar China

Muhammad Faisal (empat dari kiri) mengetuai penyerahan memorandum bantahan kepada Kedutaan Besar China di Jalan Ampang berhubung isu penindasan umat Islam etnik Uyghur di China, pada Selasa.
Muhammad Faisal (empat dari kiri) mengetuai penyerahan memorandum bantahan kepada Kedutaan Besar China di Jalan Ampang berhubung isu penindasan umat Islam etnik Uyghur di China, pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 51 aktivitis berarak menghantar bunga raya dalam pasu beserta memorandum kepada Kedutaan Besar China di Jalan Ampang sebagai simbolik keamanan, pada Selasa.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini merupakan kali kelima pihaknya menghantar memorandum ke kedutaan itu agar diberi ruang untuk bertemu dan berbincang mengenai penindasan etnik Uyghur di negara republik tersebut.

Menurut Muhammad Faisal, bagaimanapun usaha dibuat kali ini juga sia-sia selepas tiada langsung wakil dari kedutaan berkenaan datang untuk menerima memorandum yang dihantar.

“Kami mahu berunding dan menyatakan fakta mengenai isu umat Islam Uyghur yang mereka nafikan tanpa mengemukakan bukti dan berbincang dengan NGO-NGO Islam serta kemanusiaan di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghantar memorandum itu, pada Selasa.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Malaysia (GPM), Ahmad Fahmi Samsudin; Penyelaras Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Fadhil Osman dan Presiden Malaysia 4 Uyghur, Zuhri Yuhyi.

Dari kiri: Zuhri, Muhammad Faisal, Fadhil dan Ahmad Fahmi menghantar bunga raya dalam pasu ke Kedutaan Besar China di Jalan Ampang sebagai simbolik keamanan isu penindasan umat Islam etnik Uyghur. pada Selasa.
Dari kiri: Zuhri, Muhammad Faisal, Fadhil dan Ahmad Fahmi menghantar bunga raya dalam pasu ke Kedutaan Besar China di Jalan Ampang sebagai simbolik keamanan isu penindasan umat Islam etnik Uyghur. pada Selasa.

Kata Muhammad Faisal lagi, bantahan bukan sahaja datang daripada NGO Islam bahkan ia melibatkan aktivis agama lain.

“Inilah adalah perjuangan universal (kemanusiaan) dan kita konsisten bahawa penindasan terhadap etnik tertentu perlu ditentang,” katanya.

Tambahnya, ini termasuk membuat desakan kepada kerajaan- kerajaan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Muhammad Faisal berkata, bagi menyemarakkan lagi bantahan yang dibuat, satu forum khas telah dirancang pada 7 Julai ini dengan menjemput beberapa ahli parlimen tanpa mengira parti.

“Kita juga mahu isu ini dibincangkan di peringkat parlimen menerusi 'pengwujudan All-Party Parliamentary Group on Uyghurs di Malaysia'.

“Apa yang kita mahukan ialah kerajaan harus konsisten dengan perkara-perkara baik yang dilakukan terhadap pelarian tertindas sebelum ini,” katanya.