Premis hiburan guna lesen restoran diserbu

Polis menyerbu sebuah premis yang beroperasi tanpa lesen hiburan sah di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur pada Ahad.
Polis menyerbu sebuah premis yang beroperasi tanpa lesen hiburan sah di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti hiburan tidak berlesen yang dijalankan di sebalik perniagaan restoran di Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini terbongkar selepas diserbu polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurutnya, tiga pekerja premis telah ditahan membabitkan dua lelaki serta seorang wanita warga asing berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun.

"Ketika serbuan, seramai 18 pengunjung sedang berhibur dan pemeriksaan lanjut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen hiburan yang sah.

"Polis telah merampas televisyen, peralatan audio, salinan lesen perniagaan serta wang tunai," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, semakan mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen hiburan sejak sebulan lalu dan hanya berselindung dengan menggunakan lesen restoran serta kedai makan.

Katanya, siasatan turut mendapati hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk.

"Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992 serta Akta Imigresen 1959/63," tegasnya.