UPSI laksana 3 inisiatif kawalan harga makanan kampus

Maskana (kiri) bersama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr Mohd Izwan Shahril (kanan) membuat tinjauan bersama pelajar di kafeteria kolej kediaman di UPSI. (Gambar kecil: Norkhalid) - Foto ihsan UPSI
Maskana (kiri) bersama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr Mohd Izwan Shahril (kanan) membuat tinjauan bersama pelajar di kafeteria kolej kediaman di UPSI. (Gambar kecil: Norkhalid) - Foto ihsan UPSI
A
A
A

TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertindak proaktif melaksanakan tiga inisiatif baharu kawalan harga makanan di kampus dalam mendepani cabaran kenaikan harga barang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, usaha yang dilaksanakan antara Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan pengusaha kafeteria dapat melindungi kebajikan pelajar.

Menurutnya, Menu Keluarga Malaysia disediakan segera sebagai usaha memastikan harga makanan yang ditawarkan adalah bersesuaian dengan semua peringkat kelompok pelajar.

"UPSI akan melaksanakan tiga langkah untuk membantu kebajikan pelajar iaitu menyediakan menu berharga sekitar RM5 dengan pelbagai menu bebas mengikut kreativiti pengusaha kafetaria.

"Selain itu, 'Food Barakah Campaign' iaitu menyediakan tabung khas di setiap kafe untuk pembeli menyumbangkan baki bayaran untuk membantu menampung dana kebajikan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Norkhalid berkata, kempen 'Tapau Kit' juga mencadangkan mahasiswa membawa bekas sendiri ketika membeli dan pengusaha kafe bersetuju memotong harga makanan yang dibeli.

"Kira-kira 80 peratus daripada pelajar UPSI adalah terdiri daripada keluarga B40.

"Langkah ini juga sebagai persediaan awal pihak UPSI dalam menerima semula kemasukan keseluruhan pelajar UPSI mulai Ogos bagi pelajar diploma dan Oktober bagi pelajar sarjana muda dan pasca siswazah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Kanan BHEP, Maskana Ahmad berkata, program itu akan memanfaatkan hampir 27,000 orang pelajar UPSI mulai sidang akan datang.

Tambah beliau, usaha yang dilaksanakan UPSI itu selari dengan amanat Kementerian Pengajian Tinggi bagi strategi ketujuh, iaitu Menyemarak Semangat #KPTPRIHATIN.