Piala FA: Melaka United berdepan laluan berliku

Antara aksi Melaka United ketika bertemu JDT dalam perlawanan Liga Super sebelum ini.
Antara aksi Melaka United ketika bertemu JDT dalam perlawanan Liga Super sebelum ini.
A
A
A

MELAKA United berdepan tugas sukar di peringkat suku akhir Piala FA musim ini apabila diundi berdepan juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun skuad Hang Tuah kendalian Mohd Asri Ninggal itu mungkin boleh menarik sikit nafas lega apabila memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri dengan tarikh perlawanan bakal diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Apabila sudah masuk di peringkat suku akhir, tidak boleh lagi memilih pasukan dan apabila diundi bertemu JDT, kami akan cuba beri yang terbaik.

“Kami pun baharu berjumpa mereka di tempat sendiri pada 2 Julai lepas dan harap itu sedikit sebanyak akan membantu pemain memahami corak permainan JDT.

“Jadi pemain kena bagi tumpuan yang tidak berbelah bahagi dari minit pertama hingga minit terakhir berdasarkan perlawanan yang dilalui tempoh hari,” jelasnya.

Sementara itu, Sabah FC yang pernah menjulang kejuaraan Piala FA pada 1995 akan menanti lawan di Stadium Likas di antara Selangor FC atau Kuala Lumpur City FC yang akan berentap di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat ini bagi aksi pusingan kedua yang tertangguh.

Selain itu, satu-satunya wakil dari Liga Premier yang masih meneruskan perjuangan di pentas Piala FA, Kuching City FC yang akan menanti penuh debaran pemenang antara juara dua kali Piala FA, Terengganu FC atau juara bertahan, Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi satu lagi perlawanan pusingan kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu ini.

Bagi ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti mengakui tidak kisah sama ada pasukannya akan bertemu Terengganu atau KDA FC memandangkan kualiti kedua-dua pasukan adalah setara.

“Sama ada Terengganu atau Kedah, bagi saya kedua-duanya sama sahaja dan kami jelas akan menjadi pasukan 'underdog' apabila bertandang ke tempat lawan.

“Terengganu semakin menemui rentak manakala Kedah yang punyai ramai pemain import baharu juga semakin garang jika dilihat persembahan mereka di Piala AFC.

“Saya harap pemain-pemain akan berikan segala-galanya dan berharap tuah boleh berpihak kepada kami di peringkat kalah mati ini,” katanya.

Untuk Sri Pahang FC, pasukan itu bakal menjadi tuan rumah kepada juara pada musim 2002, Penang FC dalam perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur.

Keempat-empat aksi suku akhir dijadualkan berlangsung pada 23 Julai ini dengan tiada aksi timbal balik bagi peringkat suku akhir dan separuh akhir yang diadakan pada edisi kali ini.