Malaysia Digital pacu ekonomi digital negara: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika melancarkan Malaysia Digital (MD) dan Sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Malaysia (MDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Isnin.

 Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tiga, kiri).

 - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika melancarkan Malaysia Digital (MD) dan Sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Malaysia (MDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Isnin.

 Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tiga, kiri).

 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bertujuan merancakkan ekonomi digital negara, kerajaan membangunkan Malaysia Digital (MD) berpandukan tiga prinsip utama, Fleksibiliti, Ketangkasan dan Relevansi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MD menerusi projek Mangkin MD atau Pemangkin akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasikan ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik.

"Pertama, membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat; kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia’ berjaya di peringkat antarabangsa; dan ketiga, menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap melancarkan MD dan Sambutan Jubli Perak MDEC di sini, pada Isnin.

Hadir sama Menteri K-KOMM Tan Sri Annuar Musa.

Ismail Sabri berkata, pada peringkat awal, dua Pemangkin akan diperkenalkan iaitu program DE Rantau dan Digital Trade.

Katanya, program DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

"Aktiviti nomad digital di dalam negara akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik, malah akan merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat," katanya.

Katanya, program Digital Trade pula akan memacu e-dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan, memudahkan perdagangan merentas sempadan selain menyokong pergerakan data antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri.

Beliau berkata, menerusi penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), program ini akan mempermudah jangkauan lebih luas ke pasaran global seterusnya memberi manfaat besar kepada perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet telah bersetuju agar K-KOMM menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital (MD-CC) untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya termasuk penganugerahan Status MD.

Seterusnya, beliau menyarankan pihak MDEC mewujudkan satu platform khusus untuk memberi peluang kepada pemain industri agar dapat mengambil bahagian secara berterusan dan memberikan maklum balas yang wajar sepanjang pelaksanaan MD.

"Saya yakin, dengan kerjasama dan muafakat pelbagai pihak, inisiatif MD ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan pihak kerajaan juga akan memberi tumpuan sepenuhnya agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan tadbir urus dan strategi pelaksanaan MD akan diselaraskan di peringkat tertinggi kerajaan dan pemantauan serta penambahbaikannya akan dibuat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, menerusi struktur tadbir urus baharu ini, MD berperanan mempercepatkan pendigitalan di seluruh negara, memangkinkan bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan penyertaan syarikat teknologi tempatan serta menarik pelaburan berpotensi, sejajar dengan usaha merealisasikan aspirasi dan sasaran negara.

Ismail Sabri juga berkata, negara perlu melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur serba lengkap dan terus memastikan keupayaan serta kapasiti negara, kekal bertaraf dunia.

Katanya, ini penting supaya negara dapat memastikan generasi masa depan mempunyai asas dan kemudahan diperlukan untuk terus memacu negara menjadi sebuah negara digital serba maju.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan telah menganugerahkan Status MD kepada enam syarikat kelompok pertama.

Enam syarikat itu ialah Bytedance System Sdn Bhd, Bridge Data Centres Malaysia (III) Sdn Bhd, GDS IDC Services (Malaysia) Sdn Bhd, Abbott Laboratories (Malaysia) Sdn Bhd, Aceteam Connect Sdn Bhd dan Peninsula Apex Technologies Sdn Bhd. - Bernama