Harga tiket feri Pulau Pangkor naik

Kenaikan tambang feri tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke Pulau Bebas Cukai itu apabila Sabtu lalu seramai lebih 2,000 pengunjung menggunakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. - Foto 123rf
Kenaikan tambang feri tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke Pulau Bebas Cukai itu apabila Sabtu lalu seramai lebih 2,000 pengunjung menggunakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. - Foto 123rf
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Tambang bagi perjalanan dua hala ke Pulau Pangkor kini meningkat kepada RM20 berbanding RM14 sebelum ini bagi dewasa manakala kanak-kanak pula RM11 mulai 1 Julai lalu.

Kadar tambang baharu itu tertera dalam laman web easybook.com dan PangkorFerry.com yang menyatakan harga perjalanan sehala bagi dewasa RM10 manakala bagi kanak-kanak pula RM5.50.

Kenaikan harga tambang itu diakui oleh Operator Feri Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak yang menjelaskan perkara itu tidak dapat dielakkan kerana peningkatan kos operasi mereka.

Menurutnya, bahan api, penyelenggaraan dan penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 oleh kerajaan antara punca menyebabkan perkhidmatan pengangkutan tersebut meningkatkan kos operasi.

"Kenaikan tambang ini sebenarnya mengambil kira faktor harga bahan bakar, kos penyelenggaraan feri dan penambahbaikan sistem keselamatan jentera. Bagi makluman, harga minyak seliter bagi kategori industri sebanyak RM5.30 hingga RM6 kerana situasi global ketika ini. Trip perjalanan pergi dan balik memerlukan antara 170 hingga 200 liter minyak diesel.

“Gaji pekerja juga terpaksa dinaikkan mengikut kadar minimum yang ditetapkan kerajaan. Begitu juga dengan penyelenggaraan yang membabitkan kos tinggi kerana harga alat ganti lebih mahal disebabkan kos penghantaran ke Pulau Pangkor," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Rositah berkata, pihaknya juga turut menanggung kos menambah baik sistem keselamatan mengikut piawai pihak berkuasa seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem pemadam api jenis CO2.

Jelasnya, kesemua perkara yang dinyatakan itu merupakan penyumbang kepada kenaikan harga tambang feri tersebut selain kerugian terpaksa ditanggung pihak operator ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, sebanyak 15 feri menggunakan dua enjin utama yang beroperasi ketika ini bagi laluan Lumut ke Pulau Pangkor dengan kapasiti maksimum setiap feri seramai 228 penumpang.

Sementara itu, beliau menjelaskan kenaikan tambang feri tersebut tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke Pulau Bebas Cukai itu apabila Sabtu lalu seramai lebih 2,000 pengunjung menggunakan perkhidmatan pengangkutan tersebut.