Najib sokong perbicaraannya disiar secara langsung

Hantaran terbaru Najib berhubung cadangan untuk meminta perbicaraannya disiarkan secara langsung.
Hantaran terbaru Najib berhubung cadangan untuk meminta perbicaraannya disiarkan secara langsung.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta disiar secara langsung.

Beliau berkata, rakyat berhak untuk mendapatkan kebenaran berhubung tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya, selain dapat membantu ketelusan serta kedaulatan undang-undang.

"Saya akan menyokong siaran langsung kerana ia akan membantu ketelusan dan memastikan 'Rule of Law' dipatuhi. Rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International yang dihadapi Najib.

Tarikh bicara sehari itu ditetapkan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd. Ghazali ketika sebutan kes itu. Bagaimanapun, tarikh bicara selanjutnya hanya akan ditetapkan kemudian.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.

Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadualkan bermula 12 Februari sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Artikel Berkaitan:

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.